Pele: England wajar gugurkan Rooney
Astro Arena
Jun 11, 2014 18:35 MYT
Jun 11, 2014 18:35 MYT
Pele menggesa Roy Hodgson agar tidak takut menggugurkan Wayne Rooney andai penyerang itu gagal menyerlah di Brazil.
Rooney dilihat sebagai watak penting dalam perancangan Hodgson ketika skuad Three Lions bersedia untuk sepak mula Kumpulan D bertemu Itali Ahad nanti.
Namun tekanan ke atas penggempur Manchester United sebagai memuncak apabila dia perlu membuktikan kewibawaannya di pentas besar.
Rooney tidak pernah menjaringkan sebarang gol pada edisi 2006 dan 2010, ini mungkin kesempatan terakhirnya untuk memadamkan igauan lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu bagaimanapun dilihat pemain yang 'biasa-biasa' sahaja ketika perlawanan pemanas badan di Miami, sekalipun menyumbat gol ke atas Honduras apabila masih bergelut untuk mendapatkan kecergasan dan rentak terbaik.
Legenda Brazil, Pele yang merupakan peminat Rooney berkata pemain itu harus diturunkan sejak awal ketika bertemu anak buah Cesare Prandelli.
Pele, 73, berkata," Saya sukakannya kerana lasak dan berusaha kuat untuk pasukan.
"Kalau saya seorang jurulatih saya mahu pemain sepertinya dalam pasukan saya.
"Tapi jika dia mengalami kecederaan atau tidak berada di tahap yang baik, sudah tentu dia perlu diketepikan kerana dia tidak bermain di tahap terbaiknya."