Pele, anak kampung yang menggegar bola sepak dunia

Astro Awani
Disember 27, 2022 10:20 MYT
Pele bersara pada 1977 dengan beberapa rekod yang sukar untuk dipecahkan, meledak 1,283 gol dalam 1,363 perlawanan, penjaring terbanyak dalam sejarah Brazil dan FIFA. - Foto REUTERS
EDSON Arantes do Nascimento.
Lelaki ini dilahirkan pada 23 Oktober 1940 di sebuah perkampungan kecil di Minas Gerais, Brazil.
Tiada siapa menyangka lelaki bertubuh kecil itu mampu merangkul Piala Dunia sebanyak tiga kali, menjaringkan lebih seribu gol sepanjang kariernya sekali gus menggegar dunia bola sepak.
Bahkan, Edson Arantes do Nascimento atau Pele kini dianggap sebagai legenda sepanjang zaman, antara pemain terbaik pernah dilihat beraksi di dunia.
Beliau dilahirkan dalam keluarga bola sepak kerana bapanya, Joao Ramos do Nascimento bermain bola sepak secara profesional namun kehidupan mereka sekeluarga masih miskin.
Keluarganya tidak mampu membeli bola untuk Pele namun kerana cintanya kepada bola sepak, Pele mengumpulkan stokin, membentuknya seperti bola dan menendangnya ke serata kampung.
Di bawah latihan bapanya dan bantuan bekas pemain kebangsaan, Waldemar de Brito, Pele kemudian menyertai pasukan junior Bauru Athletic Club.
De Brito kemudian kagum dengan bakat yang ada pada pemain bertubuh kecil itu, membawanya ke Santos FC untuk uji bakat sebelum kelab itu menandatanganinya pada Jun 1956.
Tiga bulan kemudian, Pele menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya dan dari saat itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.
Baru berumur 17 tahun, beliau mengorak langkah lebih besar dengan mewakili Brazil ke Piala Dunia 1958 di Sweden, menjaringkan gol penting di peringkat separuh akhir dan akhir.
Brazil kemudian merangkul trofi Jules Rimet pada tahun itu dan kerajaan kemudian mengisytiharkan Pele sebagai “permata negara”.
Empat tahun kemudian, Pele sekali lagi mewakili negaranya ke Piala Dunia namun penampilannya terhad kerana mengalami kecederaan. Brazil bagaimanapun masih mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka pada 1958.
Tahun 1966, semuanya serba tidak menjadi buat negara itu kerana dibelenggu masalah kecederaan dan pada 1970, Pele dan Brazil kembali merangkul piala itu.
Pada awalnya, pemain itu dilaporkan tidak akan bermain di Piala Dunia 1970 namun mengubah fikiran dan hasilnya, Pele merangkul Piala Dunia dan juga Bola Emas (pemain terbaik kejohanan).
Dia hanya bersara setahun kemudiannya dan menarik tentang karier Pele, meskipun dilabel sebagai pemain terhebat ketika zamannya, beliau tidak pernah bermain dengan pasukan selain Santos.
Beliau terima banyak tawaran dari kelab Eropah namun memilih untuk kekal bersama kelab yang menaikkan namanya, hanya berpindah ke New York Cosmos pada 1975, ketika di penghujung kariernya.
Pele bersara pada 1977 dengan beberapa rekod yang sukar untuk dipecahkan. Beliau meledak 1,283 gol dalam 1,363 perlawanan, penjaring terbanyak dalam sejarah Brazil dan FIFA.
Beliau juga menjaringkan 92 hatrik, penjaring termuda menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia dan satu-satunya pemenang Piala Dunia sebanyak tiga kali (rekod yang mustahil untuk dipecahkan).
Selepas beberapa dekad, masih tiada pemain yang mampu menandingi kehebatan Pele dan kini legenda bola sepak itu sedang bertarung nyawa di hospital.
Pada Ahad, beliau dikelilingi ahli keluarga di hospital di Sao Paulo apabila doktor mengesahkan kanser dihidapinya semakin teruk.
Bukan itu sahaja, Pele juga memerlukan penjagaan berkaitan kegagalan buah pinggang dan jantung.
Dunia mendoakan agar pemain terhebat sepanjang zaman itu segera pulih namun satu perkara yang pasti, gerakan di atas padang ibarat tarian dari Pele akan terus dikenang, bukan hanya di Brazil tapi di serata dunia.
‘Tarian’ itulah membuatkan Samba dikenali seantero dunia dan tarian itulah yang menjadikan Brazil sebagai kuasa bola sepak dunia.
November 2020, dunia melihat pemergian legenda dari Argentina, Diego Maradona dan adakah 2022, dunia akan sekali lagi melihat pemergian sorang lagi legenda?
#Pele #Edson Arantes do Nascimento #bola sepak #Brazil #FIFA #Piala Dunia
;