Pelbagai pihak disaran tampil bantu majukan bola sepak wanita - PFAM
Bernama
Disember 4, 2023 05:15 MYT
Disember 4, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk badan korporat perlu memainkan peranan bagi meningkatkan nilai komersial pada sukan bola sepak wanita sekali gus membantu memajukan bola sepak tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail berkata lebih banyak pelaburan khususnya daripada badan korporat yang berkemampuan diharapkan bagi menyumbang ke arah pembangunan serta kemajuan bola sepak wanita negara.
"Ini masa terbaik untuk melabur dan jadikan ia (bola sepak wanita) sebagai satu aset bukan perbelanjaan semata-mata sebab kita boleh lihat potensinya," katanya selepas ditemui pada Forum Bola Sepak Wanita 'Membina Persekitaran Profesional' di sini pada Isnin.
Izham berkata ketika pembangunan industri bola sepak lebih tertumpu kepada lelaki, satu kerugian besar sekiranya perkara sama tidak diterapkan kepada sukan bola sepak wanita.
"Kita jangan terlambat mengambil tindakan tersebut. Sekiranya terlambat ambil tindakan untuk jadikan bola sepak wanita sebagai satu industri dan profesion yang baik, kita akan rugi baik pemain mahupun bola sepak Malaysia itu sendiri," katanya.
Beliau berkata forum dianjurkan PFAM itu menjurus kepada perbincangan tentang bola sepak wanita dan pada masa sama mendukung kuat industri sukan itu yang semakin berkembang serta memerlukan perhatian lebih serius.
"Perbincangan lebih ke arah membangunkan bola sepak yang progresif khususnya bagi pemain bola sepak wanita.
"Sepuluh atau 20 tahun lepas kita mungkin tak duga bola sepak wanita akan sehebat sekarang...Ini menunjukkan industri bola sepak sangat menerima kehadiran sukan bola sepak wanita," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad bola sepak wanita, Soleen Al-Zoubi berharap dengan adanya sumbangan tidak berbelah bahagi pelbagai pihak yang melabur ke dalam industri sukan bola sepak wanita, ia mampu menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.
Beliau berkata ini termasuk diskriminasi terhadap wanita yang berkecimpung dalam bola sepak, urusan kontrak pemain profesional dan pelan perancangan persaraan membabitkan pemain.
-- BERNAMA