Pelayar negara Nur Shazrin, gadis lasak yang sukakan cabaran

Bernama
Julai 7, 2016 12:43 MYT
Nur Shazrin menduduki tempat kedua "Laser Radial" Kejohanan ASAF Asia Cup 2016 Abu Dhabi ketika tiba di KLIA 14 Mac lalu. - fotoBERNAMA/Fail
Lasak dan mencabar menjadi perangsang buat atlet Olimpik negara, Nur Shazrin Mohd Latif menceburi sukan pelayaran sejak berumur lapan tahun sebagai kariernya.
Atlet wanita pertama ke Sukan Olimpik dalam pelayaran itu berkata dia tidak menyangka dapat beraksi ke temasya sukan terbesar dunia pada usia seawal 17 tahun.
Tidak seperti remaja yang lain, Nur Shazrin adalah seorang wanita yang mempunyai ketahanan mental serta fizikal yang kuat kerana sanggup berjemur dan berhujan mengawal bot mengikut kelajuan angin ketika latihan dan pertandingan.
Menceritakan penglibatan awalnya dalam pelayaran, Nur Shazrin berkata ibunya, Rosni Ab Rahman merupakan orang pertama yang mengenal pasti bakatnya dalam pelayaran.
"Masa kecil dulu, saya seorang yang nakal dan tidak boleh duduk diam, jadi ibu hantar saya pergi latihan pelayaran bersama kakak-kakak saya. Mungkin sebab sudah terbiasa dengan aktiviti lasak membuatkan saya tidak takut mencuba.
"Di sekolah dulu, saya aktif main sukan olahraga dan bola baling, tetapi ibu hanya mahu saya fokus dalam pelayaran, apa yang membuatkan saya tidak putus asa sehingga hari ini adalah kerana ibu saya, dia mahu melihat saya berjaya," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Nur Shazrin pernah berhasrat untuk bersara awal dalam bidang sukan selepas penyertaan dalam Sukan Malaysia 2012 Pahang namun ibunya tetap bersungguh mahu beliau terus aktif dalam pelayaran.
"Saya pernah mahu berhenti, tetapi ibu saya paksa dan merayu mahu saya pergi kem latihan untuk pemilihan atlet kebangsaan, ketika itu jurulatih juga datang rumah mahu saya sertai kem latihan.
"Akhirnya, saya terpilih sertai skuad kebangsaan, saya tidak akan berputus asa demi ibu dan keluarga saya," kata anak ketiga dari lima beradik itu.
Empat lagi adik-beradik perempuannya juga adalah atlet pelayaran iaitu Nur Afiqah kini jurulatih pelayaran di Pahang, Nurliyana atlet bagi kategori Laser Radial, Nur Syahirah atlet negeri Pahang dan Nur Alia Ameera atlet kebangsaan bagi kategori Optimist.
Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) telah memilihnya dan seorang lagi atlet pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy untuk menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil, Ogos ini.
Nur Shazrin terpilih ke Olimpik, selepas cemerlang meraih pingat perak dalam acara Laser Radial Wanita pada Kejohanan Asia ASAF di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Mac lepas.
"Saya akan berlatih di Rio selama sebulan, kami juga akan menjalani pra Olimpik di sana, saya tidak meletakkan sasaran tinggi dan mahu belajar dengan atlet terbaik dunia di sana," katanya.
Menjelang Aidilfitri ini, buat pertama kalinya, Nur Shazrin akan menyambut perayaan dalam tempoh yang singkat kerana dia dan pasukan akan berlepas ke Rio pada hari raya ketiga ini.
Katanya, dia beraya di Pekan, Pahang, bersama keluarga dan sangat menggemari ketupat palas dan ayam masak lemak ibunya.
#atlet Olimpik Malaysia #Nur Shazrin Mohd Latif #pelayar negara #Sukan Olimpik #sukan pelayaran
;