Pelayar Australia terus dahului kategori Laser pada ISAF 2015
Bernama
Disember 30, 2015 07:55 MYT
Disember 30, 2015 07:55 MYT
Pelayar Australia Alistair Young terus mendahului perlumbaan kategori Laser Radial Lelaki Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2015 yang memasuki hari kedua pada Rabu.
Beliau menunjukkan kehebatannya memenangi dua lagi perlumbaan hari ini untuk kekal di kedudukan teratas dengan mengumpul tiga mata selepas turut menang dalam perlumbaan hari pertama kelmarin.
Wakil negara, Asri Azman terpaksa akur dengan kehebatan pelayar bertaraf mdunia dalam kejohanan itu apabila hanya mampu menduduki tempat ke-16 pada Rabu dengan 46 mata selepas berada di tangga ke-11 kelmarin.
Dalam kategori itu juga pelayar dari Amerika Syarikat Nicholas Baird berada di tempat kedua dengan 11 mata diikuti pelayar Finland Oskari Muhonen di tangga ketiga dengan 12 mata.
Bagi kategori Laser Radial Wanita pula, pelayar negara Nur Shazrin Mohammad Latif tidak mampu bersaing dengan pelayar lain apabila turun dua anak tangga ke kedudukan ke-20 hari ini selepas mengumpul 56 mata.
Pelayar Poland Magdalena Kwasna terus unggul dalam kategori itu dengan mengumpul lima mata untuk berada di tangga pertama, diikuti Maria Erdi dari Hungary dan Hannah Anderssohn dari Jerman masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga dengan mengumpul sembilan mata.
Sementara itu, pasangan Khairum Hanna Mohd Afendy dan Siti Nur Fatihah Norulkari dari Malaysia mengumpul 36 mata untuk menduduki tangga ke-16 daripada 24 pasangan pelayar yang bertanding dalam kategori 420 Wanita.
Kategori itu didahului gandingan Australia, Nia Jerwood dan Lisa Smith dengan mengumpul lima mata, diikuti Julia Szmit dan Hanna Dzika dari Poland dim tempat kedua yang mengumpul sembilan mata manakala gandingan Christine Klinger dan Victoria Thompson dari Amerika Syarikat di tempat ketiga dengan 10 mata.
Lebih 400 pelayar dari 76 negara menyertai kejohanan yang mempertandingkan sembilan kategori perlumbaan.