Pelatih kecergasan cipta rekod bersenam 12 jam tanpa henti
Bernama
Ogos 8, 2023 08:10 MYT
Ogos 8, 2023 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pelatih kecergasan Dr K. Jey Prabakaran berjaya mengukir nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Sesi Senaman Kardio Tanpa Henti Paling Lama.
Kejayaan itu turut meletakkan nama beliau dalam Influencer Book of World Records selepas melakukan pelbagai senaman kardio dan angkat berat selama 12 jam tanpa henti.
Jey, 26, yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang mencipta rekod itu pada 23 Julai lepas di sebuah gim di Temerloh, Pahang, manakala majlis pengiktirafan berlangsung semalam.
Pelatih kecergasan itu berkata idea untuk mencipta nama dalam MBOR tercetus selepas memenangi beberapa pertandingan bina badan sebelum ini.
"Saya sangat bangga dengan pencapaian ini, ia berlaku selepas 10 tahun berkecimpung dalam sukan bina badan. Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar impian mereka tanpa mengira cabaran yang dihadapi," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata percubaan mencipta rekod itu sepatutnya dibuat pada April, namun terpaksa ditangguh hingga bulan lepas berikutan beberapa kecederaan yang dialami termasuk di bahagian abdomen yang masih belum pulih.
"Untuk mencapai rekod ini, saya melakukan senaman seperti crossfits, berlari di treadmill, berbasikal, angkat berat seperti dumbel, barbel dan mesin. Saya hanya boleh mengambil rehat lapan minit untuk ke tandas.
"Sekiranya memerlukan makanan dan minuman, saya mengambilnya sambil bersenam," katanya.
-- BERNAMA