Pelari solo negara berhasrat promosi sukan stairs scaling

Bernama
Mei 29, 2022 08:02 MYT
Tengku Hassanal Ibrahim (tengah) berkenan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Suwaibah selepas Majlis Pelancaran MM1030 di Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Pengerusi MM1030 Zaini Ramlee (kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelari solo negara Mej (K) Dr Suwaibah Muhammad Nasir, 49, berhasrat membina sebuah akademi latihan sebagai usaha mempromosikan sukan stairs scaling kepada golongan belia di negara ini.
Beliau berkata akademi latihan itu berperanan mencari dan melatih anak-anak muda yang berpotensi dalam sukan itu agar dapat bertanding di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
"Sukan stairs scaling ini sememangnya sudah terkenal di luar negara seperti di Eropah. Sebagai pelopor, saya melihat sukan ini mempunyai perkembangan yang sangat positif untuk diketengahkan kepada semua.
"Dengan tertubuhnya akademi latihan ini, ia dapat menyediakan pelapis yang lebih muda dan remaja untuk menggalas tanggungjawab agar suatu hari nanti muncul 'Dr Suwaibah Muhammad Nasir' yang lain pula (pengganti)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Misi Menawan 10 Menara Malaysia dan 30 Menara Tertinggi Dunia (MM1030) di sini semalam.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Penaung Diraja MM1030.
Suwaibah berharap dan mengalu-alukan kerajaan, badan bukan kerajaan dan syarikat korporat tampil ke hadapan bagi mempromosikan sukan lasak tersebut.
Mengenai MM1030, Suwaibah akan memulakan misi dengan mendaki 10 menara Malaysia antaranya Menara Rebung TM, Menara Alor Setar, Menara Komtar dan Menara Kuantan 188, mulai Julai depan dan dijangka tamat pada akhir tahun ini.
"Selain mempromosikan sukan stairs scaling di negara ini, larian itu juga adalah satu latihan pemanas badan sebelum diteruskan ke peringkat antarabangsa pada tahun hadapan," katanya.
-- BERNAMA
#pelari solo negara #Suwaibah Muhammad Nasir #stairs scaling #akademi latihan
;