Pelapis sukan ragbi kian rancak

Sufian Hadi
Mei 13, 2013 23:12 MYT
Kira-kira 400 pelajar dari sekolah-sekolah terpilih sekitar Lembah Kelang telah mengambil bahagian dalam program Klinik Sukan Ragbi, 1Malaysia Angels Rugby Talent (1MART) anjuran pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu.
Program yang bertujuan memberikan pendedahan dengan lebih mendalam tentang teknik, struktur dan perancangan teliti kepada pelapis ini sekurang-kurangnya mencambahkan lagi kekuatan dalam sukan ragbi tanah air.
Menurut jurulatih ragbi negara, Mazuri Sallehuddin, sukan lasak ini suatu ketika dahulu sukar diterima masyarakat ekoran pendedahan terhadap kecederaan fizikal yang amat tinggi.
Namun jelasnya, atas faktor kemodenan medium pengantara seperti media sosial, akhbar, forum dan usaha kelab-kelab tertentu menjadikan sukan ini mudah disampaikan kepada para peminat sukan ragbi tempatan.
“Dahulu cuma sekolah berasrama penuh sahaja yang mempunyai pelapis sukan ragbi, tapi tidak sebanyak ini. Namun, dengan daya upaya kami dan kerjasama dari pelbagai pihak kini jelas dapat membuka minda masyarakat untuk menerima nilai dan cara tersendiri permainan ragbi.” Ujarnya ketika ditemui setelah selesai memberikan taklimat dan latihan kepada pelajar sekolah.
Dalam masa sama, jurulatih pasukan ragbi sentuh wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Sharizawati Salim menambah, kekangan dari ibu bapa antara faktor utama mengapa sukan ini sukar dikembangkan.
“Memang sukar untuk meyakinkan ibu bapa pelajar lagi-lagi pelajar perempuan. Saya harap dengan adanya program seperti ini dapat membantu kefahaman ibu bapa tentang aspek keselamatan dan memberi peluang untuk anak-anak mereka menceburi sukan yang mereka minati.” kata Sharizawati.
Sharizawati juga mengharapkan agar ada pihak yang tampil untuk mengadakan perlawanan sukan ragbi sentuh wanita antara sekolah-sekolah.
Memandangkan sukan ragbi ini merupakan antara sukan yang ganas dan lasak, ia tidak wajar diketepikan kerana budaya bersukan yang diterapkan dalam formasi sukan ini mampu membentuk sahsiah diri agar menjadi pelajar yang lebih berdisiplin dan mempunyai semangat juang tinggi.
#1Malaysia Angels Rugby Talent #Mazuri Sallehuddin #Sharizawati Salim #UPM