Pelapis harus bangkit jadi sebaik Chong Wei

Astro Arena
Jun 22, 2015 21:15 MYT
Kemaskini ranking dunia menyaksikan kedudukan Chong Wei menjunam ke tangga 180 menjelang kempen seterusnya di GP Terbuka Kanada. - Gambar Astro ARENA
Datuk Lee Chong Wei telah memadamkan segala keraguan terhadap persoalan apakah dia mampu kembali jadi yang terbaik didunia susulan memenangi GP Emas Terbuka Amerika Syarikat.
Kejayaan yang patut pemain muda negara mencermin kembali peranan mereka dalam skuad kebangsaan.
Ini merupakan kejuaraan pertama Chong Wei sejak Siri Super Terbuka Jepun lebih setahun lalu yang turut menyaksikan dia menjalani penggantungan lapan bulan gara-gara gagal lepasi ujian doping.
Pencapaian menakjubkan buat Chong Wei tetapi membingungkan buat sebilangan besar perseorangan muda negara yang terus buntu menterjemahkan prestasi sebenar ketika ketiadaan jaguh dunia itu.
Bagi jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock yang pernah melatih Chong Wei dan kini bertanggungjawab terhadap barisan pelapis,masalah utama dikenalpasti bersandarkan mentaliti pemain.
"Pemain muda terlalu mengharapkan keputusan dari Chong Wei, pada saya ini masanya pemain lain kena bangkit.
"Bagi saya pemain kita boleh pergi lebih jauh kalau mereka ubah sikap dan mentaliti mereka," katanya.
Kemaskini ranking dunia menyaksikan kedudukan Chong Wei menjunam ke tangga 180 menjelang kempen seterusnya di GP Terbuka Kanada.
Seu Bock bagaimanapun berasakan Chong Wei hanya menunggu masa untuk kembali sebagai pemain nombor satu dunia disamping misi menamatkan kemarau memburu gelaran dunia dan Olimpik.
"Ini merupakan satu permulaan yang bagus, yang penting dia kekal yakin kerana dia kini perlu bersedia untuk Kejohanan Dunia di Indonesia," katanya lagi.
#Lee Chong Wei #Super Terbuka Jepun #Tey Seu Bock
;