Pelan Industri Sukan kini di fasa akhir - TPM Ahmad Zahid
Bernama
April 18, 2024 15:19 MYT
April 18, 2024 15:19 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam fasa akhir membangunkan Pelan Industri Sukan, yang menggariskan strategi dan inisiatif memberi manfaat kepada sektor industri sukan, sekali gus memberi pulangan semula kepada ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan berkata perkara itu, dimaklumkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 1/2024, dipengerusikannya hari ini.
"Kerajaan akan memberi penekanan utama kepada pertumbuhan sukan sebagai sebuah industri bernilai tinggi.
"Berdasarkan Laporan Awal Akaun Satelit Sukan 2022, nilai ditambah kasar industri sukan bertumbuh 12.1 peratus pada 2022, berbanding 1.9 peratus pada tahun sebelumnya, dengan jumlah RM19.6 bilion pada 2022 berbanding RM17.5 bilion pada 2021," katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat tersebut.
Mesyuarat JKPS berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan, termasuklah memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan kerjasama strategik antara Agensi Anti-doping Malaysia (ADAMAS), KBS dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi Dan Kementerian Kesihatan, dalam Pendidikan Anti-doping.
"Kerjasama strategik ini akan dilaksanakan kepada pada atlet di Institusi Pengajian Tinggi, atlet yang bertanding di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 dan Para Sukma Sarawak 2024, serta pelaksanaan pendidikan 'Kenali Ubat Anda'," katanya.
Ahmad Zahid berkata semua kementerian perlu menggalas peranan masing-masing dalam menambah baik program, kemudahan dan peralatan sukan, bagi menampung perubahan populasi negara yang dijangka mencapai status negara tua pada 2030.
"Menurut unjuran yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 15 peratus daripada penduduk Malaysia, berumur 60 tahun ke atas pada tahun tersebut," katanya.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat JKPS merupakan satu platform yang diharap dapat menyelesaikan segala isu berkaitan sukan secara berkesan.
"Ia juga dapat diperluas dengan melibatkan semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), ke arah memperkasakan pembangunan sukan secara inklusif bagi melahirkan masyarakat yang sihat, aktif dan sejahtera.
"Perancangan dan pelaksanaan inisiatif berkaitan memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan dalam menjayakan hasrat kerajaan, seperti tergaris dalam Dasar Sukan Negara dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030)," katanya.
-- BERNAMA