Pelaksanaan psikologi sukan: Atlet mudah 'koyak'?

Kolumnis AWANI
November 11, 2023 13:55 MYT
Sudah tiba masanya ilmu psikologi sukan yang ada dilatih kepada semua jurulatih terutama jurulatih pembangunan sukan dan akar umbi. - Gambar hiasan
KITA semua mungkin pernah mendengar hasil kajian yang dilakukan oleh Institut Sukan Negara terhadap punca kekalahan utama Datuk Lee Chong Wei kepada Lin Dan adalah mungkin disebabkan faktor psikologi sukan.
Dari segi fizikal, teknikal dan taktikal kelihatan Chong Wei setanding dengan Lin Dan, tetapi mungkin disebabkan tekanan psikologi, beliau tumpas semasa berjuang. Kita juga pernah diberitahu oleh jurulatih basikal negara iaitu John Beasley, di mana beliau pernah nyatakan bahawa beliau boleh memantau latihan dan tahap fizikal atlet basikal negara, namun beliau tidak mampu untuk lakukan pemantauan menyeluruh terhadap tahap kekuatan mental atlet - semasa di dalam mesyuarat rencana Misi dan Visi Sukan Negara 2030.
Nampak remeh, tapi itulah hakikat kebenaran yang perlu kita ambil tanggungjawab bersama untuk memastikan negara berjaya memperolehi pingat emas Olimpik yang pertama.
Oleh itu, sudah tiba masanya ilmu psikologi sukan yang ada dilatih kepada semua jurulatih terutama jurulatih pembangunan sukan dan akar umbi. Malahan pengetahuan psikologi sukan telah pun diterapkan dalam kursus sains sukan tahap 1, 2 dan 3 di peringkat kebangsaan.
Semua jurulatih telah sedia maklum akan aktiviti psikologi sukan yang boleh di lakukan seperti ‘self-talk, imagery, goal setting’ dan lain-lain. Namun begitu jurulatih kita tidak mampu melaksanakan semua aktiviti dalam satu masa kerana mereka perlu fokus kepada kejurulatihan dan teknik permainan sukan itu sendiri.
Oleh sebab itu, aktiviti psikologi sukan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan perlu ada tanggungjawab sosial bersama untuk pastikan atlet kita sentiasa bersedia dari segi ketahanan mental.
Di luar negara, aktiviti ‘profiling’ data sukan atlet di lakukan secara sistematik seperti analisis SWOT kerana ia dapat membantu tugas pengurusan sukan untuk meningkatkan prestasi atlet (maklumat tersurat dan tersirat biodata atlet).
Objektif aktiviti ‘profiling’ adalah untuk memudahkan jurulatih mengenal pasti secara terperinci identiti atlet seperti perkara yang paling disukai, cita-cita mereka yang ingin dicapai, dan kekuatan serta kelemahan mental atlet tersebut.
Aktiviti ini sangat membantu membentuk mentaliti atlet dan jalinan kerjasama psikologi sukan yang erat antara jurulatih dan atlet. Dari situ, psikologi sukan memainkan peranan penting tatkala ketika atlet berdepan masalah, atau pun bagaimana atlet boleh mengekalkan tahap fokus dan ketenangan mereka apabila diprovokosi penonton atau pihak lawan.
Hakikatnya, jika tidak mempunyai kekuatan mental, maka akan berlaku pelbagai isu yang telah banyak kita saksikan sebelum ini seperti pergaduhan pemain, atlet nampak goyah ketika bermain dan macam-macam lagi.
Secara tuntasnya, psikologi sukan bukan sahaja boleh membantu atlet malahan membantu orang awam pada masa kini. Kehidupan pascapandemik yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan pada masa kini menyebabkan ramai dikalangan kita dan para atlet menghadapi tekanan dan burnout.
Oleh itu, kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada jurulatih kerana tanggungjawab mereka adalah sangat besar, kita juga perlukan sokongan dari pihak yang mempunyai kepakaran psikologi sukan dan juga komuniti untuk turut sama membantu para atlet kita agar ketahanan mental mereka lebih kuat, tidak mudah 'koyak' dan berupaya untuk memperolehi kejayaan.
Nak bentuk atlit bukan hanya sekadar fokus kepada fizikal dan kecergasan sahaja, kekuatan mental juga perlu seiring agar dapat kecapi kejayaan.

* Artikel ini adalah tulisan Dr Hadafi Fitri Mohd Latip, Pusat Teknologi Inovasi Sukan, Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Psikologi Sukan #prestasi atlet #sukan berprestasi tinggi #kekuatan mental
;