Pelaksanaan kod sukan selamat bakal diperluas ke seluruh negara - Hannah Yeoh

Bernama
Mac 16, 2023 18:30 MYT
Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan semalam akan diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan semalam akan diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata ia susulan komitmen kesemua Exco Belia dan Sukan negeri yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan kod berkenaan.
"Semalam kita telah melihat persatuan sukan kebangsaan (NSA), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan MPM (Majlis Paralimpik Malaysia) telah menandatangani untuk menyatakan sokongan mereka melaksanakan Kod Sukan Selamat di bawah bidang kuasa mereka.
Jadi, hari ini semangat sama ditandatangani Exco negeri... mereka akan bawa Kod Sukan Selamat balik ke negeri masing-masing untuk pastikan stadium atau kemudahan sukan di bawah bidang kuasa mereka mempraktikkan kod ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Penandatanganan Kod Sukan Selamat di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini hari ini.
Kod dibangunkan KBS itu adalah garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan.
Selain itu, ia dapat memperkukuh aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan negara secara menyeluruh.
-- BERNAMA
#kod sukan selamat #Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh #KBS #persatuan sukan
;