Pelaksanaan Hari Sukan Negara 2021 secara hibrid
Madiha Abdullah
September 9, 2021 10:57 MYT
September 9, 2021 10:57 MYT
KUALA LUMPUR: Hari Sukan Negara 2021 (HSN2021) yang akan disambut 9 Oktober depan akan menyaksikan kelainan susulan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, HSN2021 akan berjalan secara hibrid dengan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi terkini.
Pelaksanaan HSN2021 akan dilaksanakan secara menyeluruh dan akan turut melibatkan social influencer, pemain industri, atlet dan ikon-ikon sukan bagi menarik penglibatan orang ramai dalam aktiviti yang dianjurkan.
"Pandemik ini tidak menghalang kita untuk terus kekal cergas dan mengamalkan gaya hidup aktif dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi yang sedang berkuat kuasa," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis Pra Pelancaran HSN2021 yang berlangsung secara maya, hari ini.
Hari Sukan Negara, yang merupakan acara tahunan sejak 2015, bagaimanapun tidak berlangsung tahun lalu susulan penularan COVID-19 yang berada pada tahap serius ketika itu.
"Dapatan awal yang diperolehi menerusi 36 sesi libat urus Visi Sukan Negara (VSN2030) di peringkat negeri dan daerah yang dilaksanakan Jabatan Belia dan Sukan Negara antaranya adalah, untuk menjadikan sukan sebagai sebahagian gaya hidup dan budaya rakyat Malaysia melalui penambahbaikan ekosistem sukan yang lebih inklusif dan mesra pengguna," kata Ahmad Faizal.
Majlis Perasmian HSN2021 dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang, antaranya MEGA Aerobic Challenge, KBS Virtual Run, KBS Fitness Challenge dan KBS Myfit@Home.