Pelabur Qatar sahkan tawaran beli MU

Sinar Harian
Februari 18, 2023 08:30 MYT
United dilaporkan akan mendapat pemilik baharu. - Foto agensi
PENGERUSI Bank Islamik Qatar, Sheikh Jassim Hamad Al Thani mengesahkan penyerahan bidaan untuk mengambil alih sepenuhnya kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.
Pemilik United dari Amerika Syarikat (AS), keluarga Glazer telah meletakkan United untuk dijual pada November selepas 18 tahun sebagai pemegang saham majoriti.
Tarikh akhir dilaporkan ditetapkan pada Jumaat dengan kontinjen dari Qatar dan jutawan British Jim Ratcliffe dijangka menghantar tawaran pembelian.
Walaupun Ratcliffe iaitu pemilik syarikat bahan kimia INEOS mengesahkan minat bulan lalu, namun Sheikh Jassim adalah orang pertama mengisytiharkan secara terbuka penyerahan tawaran yang sah.
Dalam satu kenyataan pihak Qatar itu menyatakan: Syeikh Jassim Bin Hamad Al Thani mengesahkan penyerahan tawaran untuk membeli 100 peratus Kelab Bola Sepak Manchester United.
"Bidaan itu sudah tentu untuk mengembalikan kelab kepada kejayaannya di dalam dan di luar padang. Apa yang paling penting adalah usaha meletakkan kehendak peminat di kelab tersebut.
"Bidaan itu akan bebas hutang sepenuhnya melalui Yayasan Nine Two Sheikh Jassim, yang akan berusaha untuk melabur dalam pasukan bola sepak, pusat latihan, stadium dan infrastruktur lebih luas, pengalaman peminat dan komuniti yang disokong kelab itu.
"Visi bidaan adalah untuk Kelab Bola Sepak Manchester United yang terkenal dengan kecemerlangan bola sepak dan dianggap sebagai kelab bola sepak terhebat di dunia. Butiran lanjut bidaan akan dikeluarkan apabila sesuai dan proses bidaan berkembang," kata kenyataan itu. - Sinar Harian
#Islamik Qatar #Manchester City #EPL #Sheikh Jassim Hamad Al Thani
;