Pegang jawatan tertinggi FAM hanya tiga penggal
Sinar Harian
Julai 1, 2023 17:55 MYT
Julai 1, 2023 17:55 MYT
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan pindaan statut yang menyaksikan jawatan tertinggi dalam badan induk bola sepak itu hanya boleh dipegang selama tiga penggal sahaja.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perkara itu telah diluluskan dan dipersetujui oleh rakan kongsi persatuan.
"Setiap ahli eksekutif (Exco) hanya boleh satu undi saja bagi setiap ahli gabungan.
"Pada masa sama, semua jawatan tertinggi dalam FAM dihadkan kepada hanya tiga penggal bermula 2025.
"Perubahan ini selaras dengan saranan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya pada sidang media selepas Kongres FAM kali ke-59 di di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM Noor Azman Rahman menjelaskan belum ada sasaran diletakkan kepada Harimau Malaya untuk kejohanan Piala Asia pada tahun depan.
Menurutnya, FAM akan mengumumkan sasaran itu apabila tiba waktunya.
"FAM belum tetapkan lagi sasaran untuk ke Piala Asia dan jika Kim Pan-gon berkata demikian (lepas peringkat kumpulan), itu adalah sasaran peribadinya.
"Sudah pasti sebagai jurulatih, dia mahukan yang terbaik dengan meletakkan sasaran tertinggi tetapi bagi kami, kata putus hanya akan maklumkan sasaran sebelum berlepas ke Qatar nanti," katanya.
Sebelum ini, pengendali Harimau Malaya Pan-gon mengeluarkan kenyataan 'berani' selepas menang besar ke atas Papua New Guinea 10-0 bulan lalu dengan menyatakan anak buahnya berpotensi untuk mencipta kejutan di Qatar.
Situasi itu agak berbeza apabila Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengambil langkah 'selamat' dengan menyatakan mengutip satu mata juga boleh dianggap positif. - Sinar Harian