Pedrosa kuasai sesi latihan ketiga GP Motosikal Malaysia 2014
Bernama
Oktober 25, 2014 15:51 MYT
Oktober 25, 2014 15:51 MYT
Penunggang Repsol Honda Team Dani Pedrosa mengekalkan prestasi cemerlang dengan menguasai sesi latihan ketiga Grand Prix Motosikal Malaysia 2014 di Litar Sepang hari ini.
Penunggang Sepanyol berusia 29 tahun itu mencatat masa dua minit 0.454 saat, 0.165 saat lebih pantas daripada rakan senegaranya Jorge Lorenzo dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP.
Rakan sepasukan Pedrosa dan juara MotoGP dunia 2014 Marc Marquez mencatat masa ketiga terpantas 2:00.663s.
Sesi latihan bebas ketiga berlangsung dalam keadaan cuaca kering dengan bacaan suhu 31 darjah Celcius dan suhu permukaan litar 39 darjah Celcius.
Bagi musim ini, sesi latihan keempat untuk kelas MotoGP diadakan selama 30 minit, bermula 1.30 tengah hari, manakala sesi kelayakan MotoGP dijadual berlangsung pada 2.10 petang.
Terdahulu, dalam kelas Moto3, John Mcphee dari pasukan SaxoPrint-RTG mencatat masa terpantas pusingan iaitu 2:12.734 saat.
Dia diikuti dengan perbezaan 0.352 oleh penunggang Sepanyol Isaac Vinales dari Calvo Team yang mencatat masa 2:13.086s dan penunggang tempat ketiga Alex Marquez dari pasukan Estrella Galicia 0,0 dengan masa 2:13.300s.
Penunggang Malaysia Zulfahmi Khairuddin dari pasukan Ongetta Air-Asia menctat masa 2:13.918s untuk menduduki tempat ke-11 dan Amirul Hafiq Azmi dari pasukan SIC-AJO mencatat masa 2:15.472s untuk menduduki tangga ke-23.
Dua penunggang wildcard, Ramdan Rosli dari Petronas AHM Malaysia dan Hafiza Rofa dari SIC-AJO, masing-masing menduduki tempat ke-27 dan ke-33.
Dalam kelas Moto2, penunggang Sepanyol Esteve Rabat dari Marc VDS Racing Team mencatat masa 2:07.405 saat untuk meraih masa terpantas.
Penunggang Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Petronas Raceline Malaysia menduduki tangga ke-21 dengan catatan masa terpatasnya 2:08.895s, manakala Azlan Shah dari IDEMITSU Honda Team Asia menduduki tempat ke-33 dengan masa 2:10.452s.