Pearly-Thinaah usaha cari semula rentak permainan seperti di Terbuka Indonesia 2024

Bernama
Julai 10, 2024 05:00 MYT
Pearly mengakui aksi ditampilkan mereka di gelanggang ikonik, Istora Senayan di Jakarta itu berupaya mengembalikan keyakinan mereka selepas berdepan aksi tidak menentu sebelum ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu badminton wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah sedang berusaha mencari rentak permainan pada Terbuka Indonesia 2024 untuk dijelmakan semula pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Walaupun terkandas di suku akhir kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 20-22, 18-21, namun Pearly mengakui aksi ditampilkan mereka di gelanggang ikonik, Istora Senayan di Jakarta itu berupaya mengembalikan keyakinan mereka selepas berdepan aksi tidak menentu sebelum ini.
"Jadi semasa waktu latihan ini, kita sedang cari keyakinan dan cara bermain (seperti di Terbuka Indonesia 2024). Persediaan setakat ini adalah bagus kerana kami beri sepenuhnya semasa latihan dan berjuang untuk Olimpik," katanya pada sidang media, di sini. pada Rabu.
Pemain dari Kedah itu berkata, mereka juga telah banyak mengambil iktibar daripada kekalahan kepada Qing Chen-Yi Fan terutamanya dari segi cara lawan bijak mengambil kesempatan di saat genting untuk mengutip mata dan mencapai kemenangan dalam perlawanan ditempuhi.
Sama seperti atlet lain, beliau berkata, mereka juga mengimpikan untuk meraih pingat Sukan Olimpik dan bersedia menampilkan taring sebenar mereka di Paris.
Dalam pada itu, Thinaah berharap pengalaman bertarung bersama beberapa rakan sepelatih dibawa khas dari Indonesia membantu mereka untuk mengatasi pasangan utama dunia termasuk Qing Chen-Yi Fan serta gandingan nombor dua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
"Kedua-dua pasangan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Saya fikir cabaran sebenar adalah apabila bertemu mereka di gelanggang dan sekarang kami hanya mahu fokus mata demi mata dan pergerakan (semasa di Olimpik)," katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah hanya menang sekali daripada tujuh pertembungan menentang Qing Chen-Yi Fan dan tumpas dua dari tiga perlawanan menentang Ha Na-So Hee.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky percaya sekiranya Pearly-Thinaah diletakkan dalam kumpulan bersama pasangan utama atau ranking lebih tinggi di Sukan Olimpik 2024 dan mampu mengatasi lawan di peringkat tersebut, situasi itu mampu meningkatkan tahap keyakinan untuk lebih menyerlah di peringkat saingan kalah mati.
Rexy berkata, peluang juga lebih terbuka untuk mana-mana pemain atau pasangan merangkul pingat di Sukan Olimpik kali ini berbanding ketika sukan badminton mula dipertandingkan pada edisi 1992 di Barcelona.
"Sejak London 2012 dan seterusnya, tekanan adalah tidak sama seperti di Olimpik 1992 kerana dahulu sudah tahu siapa calon kuat yang akan menjadi juara.
"Namun kali ini semuanya agak sama bukan sahaja China, Jepun, Korea Selatan mahupun Malaysia, malah pemain perseorangan lelaki dari Guatemala, Kevin Gordon mampu mara ke separuh akhir di Tokyo 2020, jadi kesemuanya bergantung kepada bagaimana pemain itu menangani tekanan masing-masing," katanya.
Rexy yang pernah memenangi pingat emas beregu lelaki bersama Ricky Subagja pada Atlanta 1996 juga berkata pihaknya telah merencanakan pelbagai situasi, termasuk cara mencuri mata dan arah pukulan servis dalam sesi latihan bagi membantu Pearly-Thinaah berdepan pasangan handal dunia lain di Paris.
Jurulatih beregu wanita negara Hoon Thien How pula enggan meletakkan sebarang tekanan kepada mereka dan berharap agar Pearly-Thinaah bebas dari sebarang kecederaan menjelang Sukan Olimpik 2024.
Sukan Olimpik 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. - BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #kecederaan #beregu wanita #mencuri mata
;