Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Terbuka Jerman
Bernama
Mac 11, 2023 11:20 MYT
Mac 11, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh badminton beregu wanita Malaysia Pearly Tan-M.Thinaah nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menjadi wakil tunggal negara yang berjaya menempah slot ke peringkat separuh akhir Terbuka Jerman 2023 di Mulheim.
Beregu nombor enam dunia itu tidak mempunyai masalah untuk menundukkan pasangan dari Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara 21-17, 18-21, 21-11 dalam saingan peringkat suku akhir kejohanan Super 300 itu awal pagi ini (Jumaat malam di Jerman).
Keputusan itu menyaksikan juara Sukan Komanwel 2022 itu akan membuat perhitungan bersama beregu Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang juga pilihan pertama kejohanan, dijangka pada pukul 12 tengah malam ini waktu Malaysia, dalam usaha menempah tiket ke final Terbuka Jerman pada edisi ini.
Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah yang juga pilihan ketiga kejohanan hanya pernah menewaskan Nami-Chiharu sekali iaitu pada Kejohanan Terbuka Perancis 2022, sebelum tewas kepada beregu yang berada di ranking kedua dunia itu sebanyak tujuh kali.
Sementara itu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada pasangan yang berada pada ranking ke-14 dunia, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan, 20-22, 14-21 dalam pertembungan peringkat suku akhir yang berlangsung selama 41 minit.
-- BERNAMA
#terbuka jerman
#Pearly Tan-M Thinaah
#badminton beregu wanita Malaysia
#Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara