Pearly-Thinaah mara ke final Terbuka Switzerland
Bernama
Mac 6, 2021 06:50 MYT
Mac 6, 2021 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu wanita meningkat naik Pearly Tan-M Thinaah mencipta kejutan apabila menjadi satu-satunya wakil negara mara ke final kejohanan badminton Terbuka Switzerland semalam.
Beregu wanita negara yang berada di ranking ke-30 itu, menyingkirkan 'kakak senior' mereka Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang juga pilihan kedua kejohanan 10-21, 21-14, 21-16 dalam perlawanan separuh akhir di St Jakobshalle, Basel.
Bagaimanapun, Pearly-Thinaah terpaksa bermandi peluh dalam 66 minit perlawanan yang menyaksikan pasangan muda negara itu tewas di set pertama, sebelum bangkit mengawal permainan hingga menang di set kedua dan ketiga.
Pasangan negara bakal berdepan gandingan adik-beradik dari Bulgaria Gabriela-Stefani Stoeva yang turut mengejutkan pilihan utama kejohanan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand 21-16, 21-14.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia terkandas di separuh akhir selepas tewas 18-21, 10-21 kepada pemain Thailand Kunlavut Vitidsarn.
Nasib sama menimpa beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila dikejutkan oleh pasangan bukan pilihan dari Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 13-21, 21-13, 16-21 manakala perjuangan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga tamat selepas kalah kepada gandingan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue 19-21, 10-21.
-- BERNAMA
#badminton
#Terbuka Switzerland
#Pearly Tan
#M Thinaah
#beregu wanita
#Chow Mei Kuan
#Lee Meng Yean
#St Jakobshalle
#bulgaria
#Thailand
#Lee Zii Jia
#Aaron Chia
#Soh Wooi Yik
#BAM
#Badminton Association of Malaysia