Pearly-Thinaah makin berbisa - Khe Wei
Bernama
Jun 19, 2023 05:30 MYT
Jun 19, 2023 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, semakin berbisa apabila mampu menempuhi rali panjang untuk memberi saingan sengit kepada pihak lawan, dalam beberapa siri kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.
Pendapat itu dilontarkan bekas pemain beregu wanita negara, Woon Khe Wei yang merasakan Juara Terbuka Perancis 2022 itu, mampu menghadirkan kilauan pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 berdasarkan rentak persefahaman yang ditonjolkan mereka.
Khe Wei bagaimanapun, menasihatkan Pearly untuk menguatkan jisim otot badannya dan mengambil pemakanan yang baik, bagi mengurangkan kecederaan yang sering membelenggu pemain berusia 23 tahun itu.
"Saya rasakan mereka berada dalam keadaan terbaik dan saya suka cara mereka (Pearly-Thinaah) bermain, terutamanya saya dapat lihat Thinaah telah meningkat dengan banyak dari segi bertahan. Mereka lebih kuat dan boleh dapat mata dengan mudah, jadi mereka sebabkan pasangan lain sukar berhadapan dengan mereka.
"Saya tahu ketika Terbuka Malaysia, hampir kesemua perlawanan kira-kira satu jam setengah dan ia bukan suatu yang mudah untuk mereka pulih semula dalam tempoh singkat. Oleh kerana Pearly lebih kurus menyebabkan tempoh pemulihannya ambil lebih banyak masa," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Khe Wei yang pernah bergandingan bersama Vivian Hoo memenangi emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland serta Sukan SEA 2013 di Myanmar berkata ia suatu yang normal bagi atlet badminton melalui proses pemulihan yang lama, selepas berhempas pulas dalam perlawanan rali panjang.
Pearly-Thinaah terpaksa mengharungi empat perlawanan lebih dari sejam, merangkumi aksi 5 jam 54 minit pada Masters Malaysia 2023, pada bulan lepas.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu berjaya meraih pingat perak, selepas ditewaskan beregu kedua terbaik dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan, 20-22, 21-8, 17-21 pada aksi final.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga mengumumkan pasangan itu untuk tidak menyertai Terbuka Indonesia yang berakhir semalam, apabila Pearly mengalami kecederaan siku yang menyaksikan mereka terpaksa menarik diri dari pusingan pertama Terbuka Singapura pada awal bulan ini. - BERNAMA