Pearly-Thinaah harap dapat teruskan rentak

Bernama
Mei 24, 2024 20:34 MYT
Turun selaku pilihan kedua kejohanan, Pearly dan Thinaah hanya memerlukan 31 minit untuk menumpaskan Setyana Mapasa-Angela Yu dari Australia. - Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah berharap dapat meneruskan rentak hari ini apabila berdepan Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan pada separuh akhir Masters Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, esok.
Turun selaku pilihan kedua kejohanan, finalis tahun lepas itu hanya memerlukan 31 minit untuk menumpaskan Setyana Mapasa-Angela Yu dari Australia 21-16, 21-8 dalam aksi suku akhir hari ini.
Thinaah berkata layak ke separuh akhir pertama musim ini merupakan pencapaian yang sepatutnya dibanggakan, namun dia enggan terbuai dengan kegembiraan itu.
"Kami masih mahu memperbaiki diri. Saya rasa (bertemu pasangan) Korea Selatan itu bukan permainan mudah jadi kita hanya fokus pada satu sama lain dan dapatkan rehat yang cukup sebelum permainan esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pearly pula merasakan strategi diguna pakai dan persediaan lebih rapi yang dilakukan menjadi antara faktor kemenangan hari ini.
Prestasi Pearly-Thinaah musim ini dilihat tidak konsisten apabila tersingkir pada pusingan pertama di tiga kejohanan iaitu Terbuka Malaysia pada Januari, Kejohanan Badminton Asia di China (April) dan Terbuka Perancis minggu lepas.
Dalam Terbuka India pada Januari mereka sekadar menjejaki pusingan kedua sebelum layak ke suku akhir Masters Indonesia dan meraih pencapaian suku akhir pada All England.
Pada Masters Malaysia tahun lepas, pasangan itu muncul naib juara selepas tewas pada beregu Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee, 20-22, 21-8, 17-21.
Sementara itu, pilihan pertama kejohanan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun dan pasangan adik-beradik Stoeva dari Bulgaria akan berentap untuk merebut slot final Ahad ini dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.
-- BERNAMA
#beregu wanita utama #badminton #Pearly Tan #M Thinaah #Masters Malaysia
;