Pearly-Thinaah atasi pasangan nombor dua dunia, layak ke final Terbuka Korea

Bernama
Ogos 31, 2024 20:37 MYT
Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan kemaraan ke final Terbuka Korea 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo di Seoul. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kem badminton negara menjadikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 lebih bermakna apabila giliran beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah mengesahkan kemaraan ke final Terbuka Korea 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo di Seoul, hari ini.
Lebih mengagumkan, Pearly-Thinaah melangkah ke pentas final selepas menumbangkan pilihan pertama kejohanan yang juga gandingan nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan 21-18, 21-13 pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 42 minit.
Menanti pasangan negara yang menghuni ranking kesembilan dunia itu di final esok ialah satu lagi wakil tuan rumah Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang merupakan pilihan keenam selepas menewaskan rakan senegara Lim Yu Lim-Shin Seung Chan, 21-14, 21-11 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Kejayaan mara ke final kejohanan berstatus Super 500 itu menyaksikan Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan keempat berpeluang merangkul gelaran pertama musim ini, selepas terkandas di pusingan suku akhir Terbuka Jepun, minggu lepas.
Terdahulu, pasangan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menambah seri sambutan Hari Kebangsaan ke-67 selepas melangkah ke final apabila menundukkan pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi, 22-20, 21-19.
-- BERNAMA
#badminton #Terbuka Korea #Pearly Tan #M Thinaah