PDRM ukur baju di badan sendiri
Astro Arena
Disember 29, 2022 08:00 MYT
Disember 29, 2022 08:00 MYT
SKUAD PDRM bakal mengetengahkan khidmat 14 pemain tempatan, enam import dan 10 anggota polis untuk memperkuatkan pasukan musim depan selain bakal menukar ketua jurulatih bagi berentap dalam Liga Super musim depan.
Bagaimanapun, pengurus pasukan, Inspektor Mohd Shamsul Hisham, lebih selesa untuk membiarkan penyokong berteka-teki tentang senarai akhir pemain sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Dalam pada itu, Sang Saka Biru yang menamatkan saingan musim lalu di tangga keenam tidak tertekan untuk bersaing dengan cabaran pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Terengganu, sebaliknya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk menimba pengalaman dan memperbaiki prestasi pasukan.
"Kami tidak menukar 100 peratus barisan kejurulatihan untuk musim depan.
"Sebelum ini kami dikendalikan Wan Rohaimi tapi difahamkan ketua jurulatih musim depan yang memiliki lesen pro," katanya di Nadi Arena.
Bekas tonggak tengah Kelantan, Dzulfahmi Abdul Hadi, muncul pemain terbaru yang bakal memperkuatkan PDRM musim depan.
Dzulfahmi mengakui bukan mudah untuk dia mengambil keputusan meninggalkan kelab Pantai Timur terutama selepas membantu The Red Warriors untuk muncul naib juara Liga Perdana 2022 untuk meraih slot automatik ke Liga Super.
Jelas pemain berusia 28 tahun itu, faktor utamanya bersetuju untuk menyertai The Cops adalah disebabkan oleh ketua jurulatih, Azzmi Aziz, memandangkan mereka pernah bekerjasama ketika bersama pasukan B-21 Sime Darby pada 2013.
Dzulfahmi turut berharap agar musim 2023 mampu jadi musim yang terbaik buat dirinya dan juga PDRM.
"Kami ambil pendekatan belajar di samping dan perlu cermin diri sendiri.
"Walaupun tidak mempunyai bajet yang tinggi tapi kami akan berusaha mengikut motto Sang Saka Biru.
"Kami perlu contohi kelab besar untuk memperbaiki kelab ini," katanya.