PDRM siap siaga hadapi Sukan SEA KL 2017
Astro Awani
Ogos 3, 2017 22:22 MYT
Ogos 3, 2017 22:22 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya bagi berdepan sebarang ancaman menjelang penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-19 (KL2017) yang berbaki 16 hari lagi.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan, atlet mahupun orang ramai tidak perlu gusar mengenai tahap keselamatan sepanjang temasya dwi-tahunan itu.
Menerusi beberapa siri latihan anti keganasan yang diadakan di beberapa tempat tumpuan pelancong, Khalid yakin kesiapsiagaan anggotanya berada pada tahap optimum.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan demonstrasi Latih Amal Ex Rimau 2017 itu yang berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri kabinet lain.
Selain menguji tahap kesiapsiagaan dan tidakbalas terhadap ancaman keganasan, Task Force Anti Keganasan Sukan SEA KL 2017 juga berperanan sebagai Crisis Management Team (CMT) pada Sukan SEA yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos dan Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 September.