PDRM selesaikan tunggakan gaji dua hari lagi

Astro Arena
Februari 20, 2019 23:29 MYT
Setiap pemain yang terbabit akan menerima baki tunggakan gaji masing-masing seperti mana yang telah diarahkan oleh jawatankuasa status FAM. - Astro Arena
PASUKAN Liga Perdana, PDRM FA, akan menyelesaikan baki tunggakan gaji membabitkan 12 bekas pemain serta barisan kejurulatihan pasukan berkenaan Jumaat depan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PDRM, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Zulkefly Yahya pada Selasa.
Dia menjelaskan setiap pemain yang terbabit akan menerima baki tunggakan gaji masing-masing seperti mana yang telah diarahkan oleh jawatankuasa status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Beberapa tajaan telah berjaya didapatkan oleh pengurusan bagi menyelesaikan dana yang tertunggak. Segala aspek termasuk potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga akan kami selesaikan," kata Zulkefly.
Sementara itu, pengurus pasukan, Kamarul Ariffin, mengesahkan kontrak pertahanan import, Benjamin Rexhovic, telah ditamatkan hanya selepas sebulan dia diikat oleh skuad Sang Saka Biru.
Ia berikutan keputusan mereka untuk membawa masuk Patrick Ronaldinho bagi menajamkan bahagian penyudah yang mengecewakan selepas tiga perlawanan.
Kamarul turut memberi jaminan segala pampasan terhadap Rexhovic telah diselesaikan sebelum pemain itu pulang ke Montenegro.
"Kami sudah selesaikan perkara melibatkan pemain pertahanan kami dari Montenegro. Ia diselesaikan secara baik dan tidak timbul masalah," ujar Kamarul.
#bola sepak #FAM #Liga Perdana #PDRM FA #pemain #tunggakan gaji
;