PDRM muncul juara ragbi Piala Agong selepas penantian 32 tahun

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 21, 2023 19:42 MYT
Kemenangan di pentas final hari ini amat bermakna bagi PDRM yang menanti selama 32 tahun, dengan kali terakhir menjulang piala itu pada 1991. - Gambar/ Astro AWANI
PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjuarai kejohanan ragbi Piala Agong 2023 selepas menundukkan juara bertahan Putrajaya dengan keputusan 29-22 dalam perlawanan akhir di Stadium Ragbi Perak, di sini, pada Sabtu.
Kemenangan itu amat bermakna bagi PDRM yang menanti selama 32 tahun dengan kali terakhir menjulang piala itu pada 1991.
Bermula garang, PDRM mendahului 24 mata pada separuh masa pertama dengan melakukan empat try dan dua conversion, manakala Putrajaya (tujuh mata) melalui satu try dan satu conversion.
Putrajaya bangkit pada permulaan separuh masa kedua dengan membuat satu try dan conversion pada minit ke-44 untuk merapatkan mata 14-24.
Pada minit ke-48, PDRM menerima tamparan apabila seorang pemainnya dikenakan kad kuning, sekali gus digantung selama 10 minit.
Putrajaya yang memperolehi penalti ekoran kesalahan yang dilakukan pemain PDRM itu tidak mensia-siakan peluang untuk menambah tiga lagi mata, menjadikan kedudukan 17-24.
Menyedari berkelebihan seorang pemain, Putrajaya menggandakan asakan dan berjaya memperolehi satu lagi try pada minit ke-57 tetapi gagal menyempurnakan conversion untuk menambah mata kepada 22.
Putrajaya sepatutnya menyalahkan diri sendiri selepas gagal memanfaatkan tiga penalti pada minit ke 52, 69 dan 71, untuk mendahului lawan.
PDRM bangkit menghukum kesilapan pemain Putrajaya untuk melakukan try pada minit ke-78, sekali gus menoktahkan permainan dengan kemenangan 29-22.
Sementara itu, bagi penentuan tempat ketiga dan empat, Sabah membenam Kuala Lumpur dengan mata 69-19.
Johan menerima hadiah wang tunai RM20,000 manakala naib johan RM15,000, ketiga RM10,000 dan keempat RM5,000.
Hadiah disampaikan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Hadir sama Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya.
#PDRM #Piala Agong #Putrajaya #juara piala agong 2023
;