PDRM lebur rekod bersih JDT II musim ini

Bernama
Mei 3, 2019 00:45 MYT
Pasukan PDRM meraikan Lee Changhoon (dua, kiri) selepas berjaya menjaringkan gol sulung untuk pasukan mereka pada separuh masa kedua dalam perlawanan Liga Premier JDT II menentang PDRM di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, pada Jumaat. - BERNAMA
Kedah mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas melakar kemenangan bergaya 5-2 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat.
Skuad 'Lang Merah' mendahului 2-1 pada separuh masa pertama hasil jaringan Jonathan Bauman pada minit ke-21 diikuti jaringan Muhammad Shakir Hamzah (minit ke-41) sebelum kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin mengurangkan defisit jaringan menerusi gol pada minit ke-45.
Semangat anak buah ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak terus membara pada babak kedua apabila terus mengasak kubu pertahanan Kuala Lumpur sebelum Fernando Rodriguez meledak gol ketiga pada minit ke-67 untuk meletakkan Kedah selesa mendahului 3-1.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuala Lumpur bangkit merapatkan kedudukan dengan menambah gol kedua pada minit ke-77 menerusi penyerang prolifik, Guilherme De Paula, namun Fernando dan Bauman masing-masing mencetak gol kedua peribadi masing-masing pada minit ke-80 dan 89 untuk melengkapkan malam gemilang Kedah di hadapan penyokong sendiri.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad 'Lang Merah' yang masih segar dengan kejayaan 3-1 ke atas PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA, Selasa lalu, mengatasi Selangor di kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 19 mata.
Pada masa sama, Perak bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum mencatat keputusan seri 3-3 berdepan PKNS FC pada aksi sengit yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
PKNS FC mendahului seawal minit keempat menerusi jaringan Kpah Sherman sebelum Brendan Gan menyamakan kedudukan lapan minit kemudian, namun Perak sekali lagi ketinggalan hasil tandukan cantik Nicholas Swirad bijak pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua, Perak berjaya menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-49 menerusi K.Partiban tetapi kegembiraan tersebut hanya seketika apabila Kpah menjaringkan gol peribadi kedua dua minit berselang sebelum pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim meledak gol ketiga pada minit ke-79.
Dalam saingan Liga Premier, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencalarkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta'zim (JDT II) musim dengan kemenangan 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang Hoon muncul wira skuad bimbingan ketua jurulatih Elavarasan Elangowan selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-75.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula menyaksikan gol pemain import kelahiran Brazil, Bruno Suzuki pada minit ke-57 memastikan Terengganu FC II mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1-0.
Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas terikat 1-1 berdepan Pulau Pinang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Gol penyamaan UKM FC dijaringkan oleh pemain gantian, Mateo Roskam pada masa kecederaan babak kedua selepas Pulau Pinang mendahului menerusi jaringan Julian Bottaro pada minit ke-47. -- Bernama
#JDT II #Liga Super #PDRM #Polis Diraja Malaysia #Stadium Darul Aman
;