PDRM kekalkan rekod tanpa kalah
Bernama
Januari 14, 2013 06:29 MYT
Januari 14, 2013 06:29 MYT
Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Perdana setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.
PDRM berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dengan mengumpul sembilan mata.
Penyerang pasukan PDRM, Khairul Izuan Abdullah menjadi wira pasukan PDRM apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan ke-75.
Johor mencatat kemenangan besar setelah membelasah Kuala Lumpur 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.
Gol Johor dijaringkan oleh Juan Muriel Orlando pada minit ke-19 dan ke-44, Jasazrin Jamaludin (minit ke-51), Muhammad Zamri Hassan (minit ke-77).
Kesilapan yang dilakukan pemain Kuala Lumpur Hasni Zaidi Jamian mengundang padah apabila beliau menjaringkan gol sendiri pada minit ke-56.
Sarawak terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ke atas pasukan baru, S.P.A Putrajaya FC di Stadium Hang Tuah, Melaka, gol S.P.A Putrajaya dijaringkan Mohd Hanifuddin Abdul Rahman pada minit ke-23 dan Sarawak menyamakan kedudukan menerusi jaringan Bobby Gonzales pada minit ke-45.
Sime Darby pula mengenepikan Perlis 2-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar. Gol Sime Darby dijaringkan pemain importnya Karlo Primorac seawal minit ketujuh dan Mohd Fazrul Hazli pada minit ke-72.
Di Stadium Likas, Sabah, pasukan tuan rumah mengalahkan pasukan berstatus kelab dari Negeri Sembilan, Betaria FC 2-0, gol Sabah dijaringkan Shahrudin Yakup pada minit ke-21 sebelum mereka menggandakan jaringan menerusi gol sendiri pemain import pasukan Betaria FC, Tomas Chovance pada minit ke-85.
Pos Malaysia pula mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Uitm FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.