PDRM dan Perak sekadar kongsi mata tanpa jaringan
Bernama
Februari 28, 2023 07:13 MYT
Februari 28, 2023 07:13 MYT
PETALING JAYA: Pendatang baharu, PDRM FC dan Perak FC masing-masing mengutip mata pertama selepas terikat tanpa jaringan pada aksi kedua Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.
Beraksi di hadapan 2,250 orang penonton, kedua-dua pasukan turun dengan misi mencari tiga mata penuh musim ini selepas tewas aksi pembukaan liga minggu lalu, bagaimanapun, gagal memecah kebuntuan gol sehingga separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad Sang Saka Biru berpeluang memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-48 menerusi rembatan leret Muhamad Norfiqrie Abdul Talib namun ia tersasar melewati kiri gawang gol Perak.
Minit ke-56, penyerang The Bos Gaurus, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak hampir meletakkan pasukannya di depan namun percubaan di dalam kotak penalti sekadar menggegar tiang gol sebelah kanan dikawal penjaga gol PDRM, Mohamad Ramadhan Ab Hamid.
Memasuki minit-minit terakhir perlawanan, hujan lebat sehingga menyukarkan kedua-dua pasukan untuk menggandakan serangan dan keputusan kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Pada aksi pembukaan musim baharu, PDRM tumbang 0-4 kepada Sabah manakala Perak tewas 1-4 kepada Kedah.
-- BERNAMA