PBSNT kekalkan TFC II, tubuh jawatankuasa teknikal

Astro Arena
Ogos 8, 2018 05:42 MYT
Bagi memastikan kemantapan pasukan, PBSNT juga mengambil keputusan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal dan pembangunan. Foto: Terengganu FC / Astro ARENA
DESAS-DESUS pembubaran Terengganu FC (TFC) II susulan penyingkiran pasukan itu daripada Liga Perdana musim depan terjawab selepas Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencapai kata sepakat pada Rabu.
Menurut Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, pimpinan baharu persatuan itu di bawah Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersetuju mengekalkan penglibatan TFC II dalam Liga FAM 2019.
Bagi memastikan kemantapan pasukan, termasuk skuad utama TFC dalam Liga Super, PBSNT juga mengambil keputusan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal dan pembangunan.
Jawatankuasa yang ditubuhkan itu, jelasnya, akan bertanggungjawab mengurus pembangunan bola sepak Terengganu dengan lebih tersusun, sistematik dan holistik.
"Pebagai langkah proaktif dalam memperkukuhkan pasukan Terengganu turut disusun dan akan diumumkan dari semasa ke semasa," kata Datuk Tengku Farok Hussin dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Rabu.
Sementara itu, turut diumumkan pelantikan Hishamuddin Abdul Karim yang juga Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri sebagai timbalan presiden PBSNT yang baharu.
"Kami berharap perancangan dan keputusan dibuat ini akan membuahkan hasil positif dalam perkembangan bola sepak Terengganu," tambahnya lagi.
#Ahmad Samsuri Mokhtar #bola sepak #bubar #jawatankuasa teknikal dan pembangunan #liga FAM #Liga Perdana #Liga Super #PBSNT #persatuan bola sepak negeri terengganu #Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil #tengku farok tengku abdul jalil #Terengganu FC #TFC #TFC II
;