PBNS jamin masalah gaji tidak berulang - Presiden

Bernama
November 30, 2023 05:45 MYT
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri bercakap pada sidang media selepas Majlis Kongres Tahunan ke-89 PBNS. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) memberi jaminan masalah tunggakan gaji pasukan tidak akan berlaku lagi pada musim depan, kata Presidennya, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Beliau berkata susulan itu pihaknya akan melakukan penambahbaikan pengurusan kewangan persatuan supaya pembayaran gaji pasukan dapat diuruskan dengan baik.
"Masalah kewangan ini berlaku kerana kekurangan dana diperoleh tahun ini, penambahan pasukan dan sebagainya, selain itu juga disebabkan tunggakan hutang yang dibawa ke tahun ini.
"Permasalahan tersebut (pembayaran gaji) pada awal tahun tidak ketara tetapi memasuki bulan berikutnya ia menjadi tahap kritikal, kita tak mahu ia berulang lagi, saya juga memaklumkan perkara ini kepada Penasihat PBNS iaitu Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun)," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Kongres Tahunan Ke-89 PBNS di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini pada Khamis yang dihadiri barisan kepimpinan persatuan dan 19 ahli gabungan.
Dalam pada itu, beliau berkata permasalahan tersebut turut dibincangkan dengan barisan pimpinan negeri ini serta telah mendapat persetujuan bagi penambahan dana supaya pasukan NSFC dapat terus bersaing di peringkat kebangsaan.
Mengenai perancangan menghadapi musim depan, Tunku Syed Razman merangkap Pengerusi NSFC berkata beberapa pertimbangan sedang difikirkan termasuk khidmat jurulatih serta barisan pemain.
"Saya akan umum dalam masa terdekat memandangkan Liga Super masih berjalan hingga Disember, kita mengambil kira pelbagai aspek bagi penambahbaikan persatuan, pengurusan pasukan dan sebagainya. (jurulatih) perkara itu juga dalam pertimbangan, kami mahu pasukan mantap bersaing musim depan," katanya.
Menurut beliau persatuan lebih berminat mengetengahkan pemain muda untuk menerajui NSFC pada saingan Liga Super musim depan selain turut mempertimbangkan mengambil pemain import bagi menguatkan pasukan.
Berbaki lagi dua perlawanan Liga Super musim ini, NSFC kini menduduki tangga kesembilan daripada 14 pasukan dengan kutipan 24 mata.
-- BERNAMA
#PBNS #persatuan bola sepak negeri sembilan #masalah gaji #Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri
;