PBNJ pecat On Jabbar selaku pengurus JDT II

Bernama
April 23, 2014 03:54 MYT
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengambil tindakan drastik dengan melucutkan jawatan On Jabbar sebagai pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II).
Setiausaha Kehormat PBNJ Mohd Fahmy Yahya berkata keputusan itu diperkenan Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selepas mengambil kira tindakan On yang dikatakan menumbuk muka pengadil, Sukri Abdul Rahman.
On dilaporkan berbuat demikian pada aksi Liga Perdana antara JDT II dan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Sabtu lepas.
Mohd Fahmy berkata On turut dikenakan denda RM25,000 namun masih kekal selaku anggota exco PBNJ.
"Pihak persatuan ini juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala kerjasama, sokongan dan komitmen yang tuan (On) telah berikan selama ini kepada pasukan JDT II khususnya dan PBNJ amnya," katanya menerusi sepucuk surat yang dimuatkan dalam laman Facebook rasmi JDT II, Johor Southern Tigers, hari Selasa.
On dikatakan telah menumbuk muka Sukri selepas berang dengan beberapa keputusan yang disifatkan berat sebelah, sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong tuan rumah. Perlawanan itu berkesudahan seri 2-2.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini dipetik sebagai berkata, On bakal berdepan hukuman berat termasuk digantung seumur hidup daripada aktiviti bola sepak sekiranya didapati bersalah menyerang pengadil.
#Johor Darul Ta'zim II (JDT II) #on jabbar #Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ)