PBNJ jaga kebajikan Gary sepanjang tempoh penggantungan - Tunku Ismail
Bernama
Januari 19, 2015 23:34 MYT
Januari 19, 2015 23:34 MYT
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) akan menjaga kebajikan Gary Steven Robbat sepanjang tempoh pemain berkenaan menjalani penggantungan tiga bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata baginda akan sentiasa menjaga kebajikan setiap pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).
"Ya, saya akan menjaga kebajikan (Gary) dan sebagai presiden (PBNJ), saya akan menjaga kebajikan pemain saya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Tunku Mahkota Johor itu berkata demikian mengulas berhubung kebajikan pemain tengah pasukan kebangsaan itu yang digantung tiga bulan dan didenda RM50,000 oleh FAM kerana melanggar peraturan perpindahan pemain.
Dalam pada itu, Tunku Ismail menegaskan baginda tidak pernah menerima keputusan FAM berhubung hukuman terhadap Gary dan PBNJ yang didenda RM100,000 kerana menandatangani kontrak bersama Gary, ketika pemain berkenaan masih menjadi pemain Harimau Muda A, seperti yang dilapor sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
"Semua tahu keputusan (denda) oleh FAM itu berat sebelah dan melibatkan jumlah yang besar. Kenapa Pahang (Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang) tidak dikenakan denda kerana turut menandatangani Gary sebelum pemain itu dilepaskan," kata baginda.
Tunku Ismail berkata dalam era bola sepak masa kini, sesebuah persatuan bola sepak tidak boleh memaksa pemain beraksi bersama kelab terbabit, sebaliknya pemain seharusnya diberi kebebasan memilih pasukan yang ingin diwakili mereka.
Dalam perkembangan lain, Tunku Ismail berkata pihaknya merancang mengadakan siri jelajah pasukan JDT ke seluruh negeri ini bagi bertemu dengan peminat pasukan berkenaan.
Baginda berkata majlis menghargai penyokong pasukan tersebut dirancang dijadikan acara tahunan dengan diadakan selama dua hari berbanding sehari, pada masa ini.