Payet sekali lagi jadi mangsa serangan penyokong lawan
Astro Arena
November 22, 2021 10:32 MYT
November 22, 2021 10:32 MYT
DIMITRI Payet terkena botol yang dibaling daripada bangku penyokong pada awal permainan ketika Marseille berdepan Lyon di tempat sendiri, lalu mengundang pertembungan Ligue 1 pagi tadi digantung.
Dalam kejadian di sebalik permusuhan ketat di antara kedua-dua penyokong terbabit, bekas perancang West Ham tersebut ketika itu bersedia untuk mengambil sepakan sudut sebelum botol yang penuh berisi air dibaling ke kepalanya.
Dia lantas rebah dan memerlukan rawatan hingga mendorong pengadil, Ruddy Buquet, bertindak mengarahkan pemain meninggalkan padang.
Payet meninggalkan padang itu dengan pek ais ditekan di tepi kepalanya.
Beberapa insiden kekecohan pernah berlaku di Perancis musim ini, sejak hari pembukaan lagi pemain tengah Marseille, Valentin Rongier, telah dibaling dengan botol ketika meraikan jaringan Payet ke atas Montpellier.
Marseille dan Payet juga turut menjadi mangsa pada Ogos lalu apabila penyokong Nice membaling botol ke arah padang.
Payet membalasnya dengan melemparkan botol itu kembali ke arah bangku penyokong hingga peminat tegar Nice bertindak mencerobohi.
Perlawanan itu terpaksa digantung sebelum diadakan semula secara tertutup di gelanggang berkecuali bulan lalu.
Masih belum dapat dipastikan lagi sama ada perlawanan sebentar tadi akan diteruskan memandangkan pemain terpaksa bersidai berada di luar padang lebih setengah jam selepas Payet dikasari.