Paulo Rangel sarung jersi JDT tahun depan
Astro Arena
Disember 29, 2015 18:00 MYT
Disember 29, 2015 18:00 MYT
BEKAS penyerang Terengganu, Paulo Rangel, akan menyarung jersi Harimau Selatan bagi saingan Liga Malaysia tahun depan.
Rangel merupakan pemain berpengalaman dan membuktikan kehebatannya ketika dinobatkan penjaring terbanyak Liga Super 2014 namun gagal mengulangi pencapaian itu bersama Terengganu tahun ini.
Menurut laporan Utusan Online, Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan bakat serta pengalaman Rangel dalam arena bolasepak Malaysia antara faktor utama yang menarik perhatiannya.
“Dia pemain berpengalaman, malah dengan mana pasukan pun dia beraksi, Rangel tidak pernah gagal menjaringkan gol,” kata Tunku Ismail kepada sidang media hari ini.
Rangel telah menjaringkan 12 gol dalam kempen Liga Malaysia bersama skuad Penyu.
Namun prestasinya dilanda kecederaan dan masalah disiplin terutama sekali ketika digantung selama enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil pada 16 Mei lalu.
Penyerang berasal dari Brazil itu juga pernah mengetuai jentera serangan Selangor dan Perak dalam kariernya sebagai pemain bolasepak profesional.
Rangel bakal mengisi kekosongan penyerang Argentina, Luciano Figueroa yang telah bersara setelah JDT menjuarai saingan Liga Super dan Piala AFC 2015.