Paul Pogba seperti hilang arah - Petit
Astro Arena
Julai 2, 2021 12:25 MYT
Julai 2, 2021 12:25 MYT
PAUL Pogba 'kehilangan plot' dalam penyingkiran dramatik dalam aksi pusingan 16 Euro 2020 Perancis di tangan Switzerland, menurut pemenang Piala Dunia 1998, Emmanuel Petit.
Skuad kendalian Didier Deschamps kelihatan mudah melangkah ke suku akhir selepas bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk mendahului 3-1 menerusi dua jaringan Karim Benzema dan satu jaringan dari jarak jauh Pogba.
Namun jaringan kedua Haris Seferovic ketika permainan berbaki sembilan minit menjadi pemangkin jaringan penyamaan daripada Mario Gavranovic, yang berpunca daripada Pogba yang kehilangan bola terlalu mudah di bahagian tengah.
Dalam perlawanan tersebut, Pogba kelihatan memarahi rakan sepasukan Adrien Rabiot, dengan ahli keluarga kedua-dua pemain dilaporkan turut saling bertelingkah.
Perancis tewas 5-4 menerusi penentuan penalti, dengan Kylian Mbappe gagal menyempurnakan percubaannya, dan bekas pemain Arsenal dan Barcelona, Petit, turut gagal untuk menjelaskan penyingkiran juara dunia itu.
"Saya tidak begitu memahami apa yang terjadi kepada Perancis ketika bertemu Switzerland," kata Petit kepada PaddyPower.
"Sepanjang perlawanan, kami hanya bermain dengan baik selama 20 minit setelah [Hugo] Lloris menghentikan sepakan penalti. Selepas itu, kami kelihatan yakin seperti pasukan berkualiti.
"Tetapi kemudian ada satu insiden -- Pogba kehilangan bola untuk gol kedua Switzerland -- dan Perancis tumbang.
"Kami kehilangan segalanya. Tumpuan, semangat berpasukan, keinginan -- kemudian pasukan lawan menyamakan kedudukan. Paling teruk, kami mula bertengkar di atas padang antara satu sama lain.
"Terdapat pertembungan besar antara Rabiot dan Pogba, yang kehilangan plot, setelah gol kedua Switzerland dan sejak itu kami tidak mempunyai kawalan, tidak ada keyakinan.
"Kami kelihatan seperti pasukan yang biasa -- sukar untuk dijelaskan."