'Patatimo Boys' harap pengorbanan raya tuai emas Sukan SEA

Bernama
Mei 2, 2022 12:41 MYT
Mereka bertekad untuk memastikan pengorbanan tidak dapat sambut raya bersama keluarga buat kali kedua berturut-turut, mampu dibalas dengan kejayaan di Hanoi nanti. - Bernama
KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki muda Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri berharap, pengorbanan tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, meningkatkan lagi keazaman mereka untuk membawa pulang pingat emas Sukan SEA.
Gandingan yang diberi julukan 'Patatimo Boys' itu, mengakui sedih tidak dapat pulang ke kampung di pantai timur kerana sedang mengikuti kem latihan menerusi konsep gelembung sukan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Namun, mereka bertekad untuk memastikan pengorbanan tidak dapat sambut raya bersama keluarga buat kali kedua berturut-turut, selepas menyambut hari lebaran di perantauan ketika bertanding di siri kejohanan Eropah tahun lalu, mampu dibalas dengan kejayaan di Hanoi nanti.
"Memang ada rasa sedih, terharu semua, tetapi kami ambil sebagai tanggungjawab dan amanah demi negara untuk bawa nama Malaysia di Sukan SEA," kata Muhammad Haikal kepada Bernama baru-baru ini.
"Saya rasa ini membuat saya lagi bersemangat apabila beraksi bulan Syawal. Jadi kalau boleh, kita nak emas di bulan yang mulia ini, kalau ada rezeki, emas bagi kedua-dua acara berpasukan lelaki dan beregu lelaki," tambah pemain yang berasal dari Kelantan itu.
Pemainn berusia 19 tahun itu yang menduduki ranking dunia ke-79, berkata ketupat dan roti jala menjadi makanan kegemarannya pada Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Wan Arif, 19, berkata beliau teruja kerana bakal beraksi buat kali pertama di temasya besar seperti Sukan SEA, namun mengakui bakal menghadapi cabaran besar menentang pesaing dari luar negara.
"Nak kata negara lain hantar barisan kedua, tidak juga kerana pemain muda Indonesia (seperti Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan) sudah pun menduduki ranking dunia ke-20 dan 22.
"Kami berharap undian cantik untuk kami nanti, insya-Allah kalau ada rezeki dan tuah, laluan kami lebih mudah. Bagi keluarga dan rakan-rakan, Selamat Hari Raya Aidilfitri, insya-Allah jumpa selepas raya dengan kejayaan pingat," kata pemain kelahiran Terengganu itu.
Wan Arif turut berkongsi bahawa beliau selalunya akan membuat panggilan video dengan keluarganya pada pagi raya, sekiranya tidak dapat menyambut hari lebaran itu bersama-sama keluarga.
Gandingan 'Patatimo Boys' itu dijangka terus berlatih di ABM sehingga berlepas ke Hanoi pada 14 Mei, dengan acara berpasukan dijadualkan membuka tirai dua hari selepas itu.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Patatimo Boys #badminton #Wan Arif Wan Junaidi #Muhammad Haikal Nazri
;