Patah tumbuh hilang berganti
Astro Arena
Mac 4, 2018 13:25 MYT
Mac 4, 2018 13:25 MYT
BARU empat aksi Liga Super berlangsung, namun terdapat tiga pasukan telah meleraikan ikatan dengan jurulatih masing-masing dengan menyaksikan tiga pengendali baru kini menggantikan tempat mereka.
Gagal mencipta impak bersama Kelantan, pengendali kelahiran Kelantan, Sathit Bensoh, tidak lagi bersama The Red Warriors dan kini diambil alih oleh Yusri Che Lah sebelum Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) melantik ketua jurulatih yang tetap.
Selepas mempertahankan gelaran Liga Super bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulises Morais mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan selepas tiga perlawanan -- Raul Longhi menggantikan tempat beliau.
Walaupun Morais telah membantu JDT untuk merangkul gelaran Piala Malaysia pada musim lalu, pemerhati sukan negara, Zainal Abidin Rawop, menganggap ia sebagai satu keputusan yang harus diakur pihak pengurusan.
"Morais meletakkan jawatan di atas masalah peribadi, dan pasukan perlu akur serta menerima perkara ini. Jurulatih yang dilantik, Longhi, perlu mengambil alih tugas ini bagi meneruskan kecemerlang pasukan ini," kata Zainal.
Mengenai pemecatan Bensoh, Zainal melihat ia sebagai satu keputusan yang terburu-buru tetapi ia juga merupakan satu peluang buat Yusri membuktikan kebolehannya dalam bidang kejurulatihan.
"Saya menganggap ini merupakan satu keputusan yang terburu-buru kerana baru sahaja tiga perlawanan berlangsung.
"Bagaimanapun, keputusan telahpun diambil dan berharap Yusri dapat membuktikan kebolehannya kerana ini adalah peluang untuk menempah nama sebagai pengendali pasukan."
#bola sepak
#jurulatih
#Kelantan
#letak jawatan
#Liga Super
#Sathit Bensoh
#Ulises Morais
#Zainal Abidin Rawop