Pasukan remaja raih gangsa acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia

Bernama
Oktober 4, 2024 18:45 MYT
Pencapaian yang diraih Malaysia itu menyaksikan pasukan negara mengulangi pencapaian pada edisi lepas yang berlangsung Washington, Amerika Syarikat. - Foto FB BAM
KUALA LUMPUR: Hasrat pasukan remaja negara untuk menamatkan kemarau 13 tahun di pentas final Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 acara berpasukan campuran tidak kesampaian apabila tumbang kepada China pada aksi separuh akhir hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang, China, pasukan negara kendalian Jeffer Rosobin tumpas 110-76 sekali gus meraih pingat gangsa.
Berdasarkan format baru yang digunakan pada edisi kali ini, setiap pasukan perlu beraksi sebanyak 10 perlawanan iaitu dua bagi setiap kategori membabitkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
Setiap perlawanan hanya akan bermain sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.
"Saya tak puas hati dengan pingat gangsa. Kami mahu bermain secara berbeza hari ini, tetapi entah bagaimana, minda pemain agak terkesan disebabkan jurang mata yang agak besar.
"Mereka sangat ingin mempamerkan persembahan terbaik, jadi ini telah memberi kesan kepada emosi mereka dan menjadi tidak stabil," kata Jeffer menerusi audio yang diberikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepada media hari ini.
Pencapaian yang diraih Malaysia itu menyaksikan pasukan negara mengulangi pencapaian pada edisi lepas yang berlangsung Washington, Amerika Syarikat setelah tumpas kepada lawan yang sama di separuh akhir.
Sebagai rekod, kali terakhir pasukan remaja negara merangkul gelaran dunia dalam acara berpasukan adalah pada 2011 di Taiwan.
-- BERNAMA
#pasukan remaja negara #Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 #raih gangsa #acara berpasukan campuran #kalah kepada China
;