Pasukan para raih gangsa, Azizulhasni mara ke suku akhir

Bernama
Ogos 9, 2023 12:37 MYT
Pasukan kebangsaan mencatatkan 51.393 saat (s) untuk menaiki podium di tempat ketiga. -Facebook PKBM
KUALA LUMPUR: Pasukan berbasikal trek para negara membawa pulang gangsa dalam acara pecut berpasukan B campuran pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 di Glasgow, Scotland, pada Selasa.
Pasukan kebangsaan terdiri daripada Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Nur Suraiya Muhamad Zamri dengan dibantu jurupandu Muhammad Khairul Adha Rasol dan Farina Shawati Mohd Adnan, mencatatkan 51.393 saat (s) untuk menaiki podium di tempat ketiga.
Mereka menewaskan pasukan Amerika Syarikat yang diwakili Michael Stephens dan Hannah Chadwick serta jurupandu Joe Christiansen dan Skyler Espinoza, yang melakukan 51.990s dalam aksi perebutan gangsa itu.
Britain muncul juara dengan catatan masa 49.992s, mengatasi Italy (51.264s).
Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memenuhi jangkaan apabila beliau mara ke suku akhir acara kegemarannya keirin elit lelaki selepas mengungguli pusingan saringan ketiga.
Dua pelumba terpantas dalam setiap pusingan saringan layak ke suku akhir manakala pelumba lain meneruskan saingan di pusingan repecharge.
Pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya Muhammad Ridwan Sahrom yang menamatkan perlumbaan masing-masing di tempat ketiga dan keempat pada pusingan saringan, turut gagal memanfaatkan peluang kedua pada pusingan repecharge.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #Pasukan berbasikal trek para negara #Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2023 #keirin elit lelaki
;