Pasukan MotoGP tuan rumah peroleh data berharga di litar Sepang

Bernama
Februari 6, 2019 05:24 MYT
Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) memperoleh data berharga pada sesi ujian pertama di laman sendiri pada Rabu. - Gambar Fail
Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) memperoleh data berharga pada sesi ujian pertama di laman sendiri pada Rabu.
Kedua-dua pelumba, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo menghabiskan masa lima jam di litar dan berehat pada tengah hari berikutan suhu yang tinggi dicatatkan di Litar Antarabangsa Sepang.
Di hadapan peminat tempatan yang teruja menyaksikan sesi ujian tersebut, Morbidelli dan Quartararo berjaya menyesuaikan diri dengan jentera baharu mereka dan meraih keputusan positif.
Morbidelli mencatat masa sepusingan terpantas dua minit 0.460 saat pada pusingan ke-58 daripada 60 pusingan dilakukannya pada Rabu.
"Kami amat gembira dengan ujian hari pertama ini di Litar Antarabangsa Sepang, keadaan jentera ini sama seperti ketika penghujung musim 2018, walaupun kami tidak terlalu pantas.
"Pada pagi Rabu, kami memberi fokus bagi mendapatkan kembali kelajuan kerana dua bulan sejak kali terakhir saya menunggang jentera MotoGP. Pada sebelah petang, kami banyak beri tumpuan pada tayar sederhana dan sudah digunakan untuk melihat keadaan jentera ini, dan mengumpulkan data untuk dianalisis," kata Morbidelli.
Pelumba kelahiran Itali itu berkata jentera tersebut berada dalam keadaan baik dan banyak membantu dari segi gaya tunggangannya.
Sementara itu, Quartararo terus menyesuaikan diri dengan jentera kelas MotoGP itu.
Pelumba Perancis itu menamatkan 65 pusingan pada sesi ujian berkenaan dengan masa terpantas 2:00.985s di pusingan ke-45, sekali gus menempatkan diri pada kedudukan ke-18.
"Kami tidak sabar untuk kembali beraksi selepas dua bulan berehat, dan kami teruja pada hari pertama ujian ini.
"Bukan mudah menyesuaikan diri dengan jentera mempunyai kuasa begitu tinggi, tetapi saya fikir pada beberapa pusingan pertama menjadi lebih sukar.
"Saya gembira kerana kita mengambil langkah ke hadapan, di (Jerez) saya perlu melakukan banyak pusingan untuk mencatat masa terpantas, tetapi hari ini kita mampu melakukan masa kelayakan selepas hanya dua pusingan," katanya.
Quartararo berkata beliau dan pasukan akan terus meningkatkan kemampuan jentera itu dan berusaha mendapatkan keadaan terbaik pada bahagian brek yang masih terdapat kelemahan.
-- BERNAMA
#franco morbidelli #MotoGP #Petronas #Petronas Yamaha Sepang Racing Team #Petronas Yamaha SRT
;