Pasukan kita semakin 'mendekati' negara Timur Tengah - Rajagobal

Bernama
November 20, 2013 02:12 MYT
Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal teruja dengan 'penambahbaikan' pasukan Malaysia dalam perlawanan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 di mana mereka semakin 'mendekati' pasukan dari negara-negara Timur Tengah.
"Saya gembira kerana kita tidak dikalahkan dengan mudah. Kita memberikan tentangan hebat terhadap dua negara Timur Tengah, Bahrain dan Qatar".
Rajagobal bercakap kepada pemberita selepas perlawanan kelayakan kelima menentang Qatar berakhir dengan skuad 'Harimau Malaya' tewas 0-1 di Stadium Shah Alam, di sini malam ini.
Pemain ganti, Al-Ali muncul wira pasukan Qatar selepas tendangannya pada minit ke-65 memberikan mereka slot dalam perlawanan akhir Piala Asia 2015 di Australia.
"Sekarang kita lupa apa yang baru berlaku. Sebaliknya kita perlu menumpukan perhatian terhadap perlawanan kali terakhir menentang Yaman (pada Mac tahun depan)," kata Rajagobal.
Menyentuh kontraknya yang dijadual tamat pada 31 Dis, Rajagobal berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memutuskannya.
#bola sepak #Piala Asia #Qatar #Rajagobal #Safiq Rahim