Pasukan Khabib sudah mula kem latihan untuk UFC 242?
Haider Yutim
Jun 3, 2019 09:11 MYT
Jun 3, 2019 09:11 MYT
MESKIPUN pertarungan di antara Khabib Nurmagomedov dan Dustin Poirer belum diumumkan secara rasmi, tetapi nampaknya salah satu pihak telah pun memulakan persediaan bagi menghadapi kejuaraan tersebut.
Jurulatih Khabib, Javier Mendez dalam satu posting di laman Instagramnya baru-baru ini memberi bayangan seolah-olah pasukannya sudah pun memulakan kem latihan untuk UFC 242.
"Saya teruja untuk memulakan kem dengan 'The Eagle' Khabib Nurmagomedov jika ia menjadi kenyataan pada 7 September nanti di UFC Abu Dhabi menentang pencabar yang amat sukar iaitu Dustin Poirier," tulis Mendez dalam postinya itu.
Khabib, 30 tahun, dijangka mempertahankan kejuaraannya lightweight yang disandangnya menentang juara lightweight interim, Dustin Poirier pada acara yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Poirier meraih gelaran juara lightweight interim UFC selepas menewaskan petarung 'favourite' Max Holloway pada aksi UFC 236 di Atlanta, Georgia, April lalu.
Khabib kini sedang menjalani ibadah puasa, dan sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan seni bela diri campuran (MMA) selain digantung perlawanan susulan insiden pergaduhan yang berlaku di UFC 229.
Petarung dari Dagestan, Rusia itu didenda sebanyak AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung perlawanan selama sembilan bulan, manakala pesaingnya Conor McGregor pula didenda AS$50,000 (RM205,355) dan digantung perlawanan enam bulan.
#Conor McGregor
#Dagestan
#Dustin Poirer
#Javier Mendez
#juara lightweight interim
#juara lightweight UFC
#Khabib Nurmagomedov
#Max Holloway
#Mixed Martial Arts
#MMA
#seni bela diri campuran
#UFC
#UFC 242
#UFC Abu Dhabi