Pasukan kendalian Zidane tewaskan bekas mentornya
Astro Arena
Ogos 4, 2016 11:59 MYT
Ogos 4, 2016 11:59 MYT
PEMAIN gantian, Danilo diangkat sebagai wira di New Jersey, apabila mencipta gol melalui gerakan solo untuk membantu Real Madrid menang 1-0 ke atas Bayern Munich dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).
Perlawanan di Stadium MetLife itu menyaksikan bos Bayern Munich, Carlo Ancelotti menentang bekas pasukannya, Madrid, di mana mereka pernah memenangi Liga Juara-Juara pada 2014.
Danilo memusnahkan parti pasukan bimbingan Ancelotti itu yang menemui gagal sentuhan penyudah menerusi rembatan yang melepasi penjaga gol, Sven Ulreich, 11 minit sebelum permainan berakhir.
Danilo yang baru berada di atas padang selama 16 minit, memecut laju di bahagian sayap sebelum menyusup kawasan bahaya lalu melepaskan rembatan jarak jauh dengan kaki kirinya.
Kemenangan itu memberi suntikan semangat buat Real Madrid menjelang pertemuan Piala Super UEFA dengan Sevilla, minggu depan.
Bayern dan Madrid masing-masing membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama mereka. Juara Jerman itu menampilkan ketua pasukan, Philipp Lahm, Xabi Alonso, Juan Bernat dan penjaga gol, Ulreich untuk menggantikan Fabian Benko, Franck Ribery, Milos Pantovic dan Tom Starke susulan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Inter.
Madrid pula yang mengalahkan Chelsea 3-2 dalam aksi terakhir, memberi peluang kepada James Rodriguez untuk bergandingan dengan Isco dan Luka Modric di bahagian tengah, sementara Sergio Ramos kembali memperkukuhkan benteng selain turut memberi peluang kepada Mateo Kovacic, Marco Asensio, Sergio Diaz dan Nacho.
Bayern menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama, meskipun banyak mencipta gerakan, Bayern mendapati sukar untuk menembusi pintu gol lawan.
Percubaan David Alaba pada minit ke-25 hampir menggegar gawang Madrid, menerusi sepakan percuma tatkala penjaga gol, Kiko Casilla hanya mampu memerhati.
Penyerang Amerika Syarikat (AS), Julian Green yang menyumbat hatrik ke atas Inter, kerap memberi ancaman ke kubu pasukan kendalian Zinedine Zidane itu.
Green hampir berjaya untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila melepasi dua pertahanan namun tindakan penyudahnya kurang berkesan untuk menewaskan Casilla.
Casilla terus diuji dan kali ini dia terpaksa melayangkan badannya untuk menafikan percubaan berbahaya Thiago Alcantra.
Madrid mula mendapat rentak di hujung saingan separuh masa pertama, namun hanya mampu membuat percubaan dari jarak jauh. Madrid mengekalkan penguasaan pada babak berikutnya, Alvaro Morata yang berjaya melepasi perangkap ofsaid namun percubaannya sedikit tersasar.
Menyusul dua minit selepas itu, Madrid sekali lagi beroleh kesempatan, namun kali ini percubaan Isco dari luar kotak penalti terkena tiang.
Danilo akhirnya memecah kebuntuan perlawanan dengan gerakan solo menarik, Diaz hampir menggandakan kedudukan buat Madrid, namun Ulreich enggan membenarkan pintu golnya
dibolosi buat kali kedua.