Pasukan hoki negara tumpas 6-4 kepada Belanda

Bernama
Ogos 6, 2019 06:12 MYT
Roelant Oltmans berkata keputusan itu merupakan satu langkah kehadapan ke arah pembangunan hoki para pemainnya. --fotoBERNAMA/Fail
Selepas memenangi Kejohanan Jemputan Empat Negara di Terrassa, Sepanyol, Ahad, pasukan hoki lelaki negara mempamerkan persembahan cukup baik pada Selasa, namun tewas 6-4 kepada pasukan Belanda dalam perlawanan ujian di Breda, malam tadi.
Pasukan nombor tiga dunia, Belanda, memulakan pesta gol mereka seawal minit kedua menerusi Mirco Pruijser, namun pasukan nombor 12 dunia, Malaysia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-11.
Pasukan Belanda kemudiannya mendahului sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti di minit ke-13 dan kemudiannya Marco menambah jaringan (minit ke-20), dan pasukan Malaysia mengurangkan defisit gol menerusi jaringan Faiz Helmi di minit ke-29.
Di separuh masa kedua, pasukan yang memenangi pingat perak dalam Piala Dunia 2018 itu menambah jaringan menerusi Jip (38'), Jelle Galema (49') dan Thierry Brinkman (51'), manakala pasukan pemenang pingat perak Sukan Asia, Malaysia, menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim (43') dan Faizal Saari (56').
Mengulas perlawanan itu, Ketua Jurulatih Roelant Oltmans berkata keputusan itu merupakan satu langkah kehadapan ke arah pembangunan hoki para pemainnya.
"Mereka menunjukkan serangan yang baik dan memiliki peluang untuk membuat lebih banyak jaringan, tapi sebaliknya pasukan negara dihukum untuk setiap kesilapan yang dilakukan.
"Namun ia persembahan yang baik, menunjukkan pasukan negara semakin bertambah kompetetif berhadapan dengan pasukan terbaik dunia. Kita masih perlu buat kajian semula persembahan, dan mencari pendekatan terbaik untuk perlawanan berikutnya," katanya.
Pasukan negara akan meneruskan siri perlawanan ujian menentang juara dunia tiga kali, Belanda pada hari Khamis, diikuti dengan perlawanan menentang pasukan nombor dua dunia Belgium pada 10 dan 12 Ogos.
Malaysia, yang sedang membuat persiapan untuk peringkat akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan pada Oktober dan November ini memulakan siri jelajah dengan menewaskan juara dunia dua kali dan pasukan ketujuh dunia Jerman 4-2 di Krefeld pada 26 Julai, diikuti dengan kekalahan tipis 0-1 kepada pasukan nombor satu dunia Sepanyol.
Malaysia kemudiannya muncul juara di Kejohanan Empat Negara selepas menewaskan Sepanyol 4-3 pada 1 Ogos, menumpaskan Ireland 2-1, Jumaat, dan seri dengan England 3-3 Ahad.
-- BERNAMA
#Belanda #Breda #hoki #Kejohanan Jemputan Empat Negara #Malaysia #perlawanan ujian #Roelant Oltmans #sepanyol #siri jelajah #Sukan Olimpik Tokyo 2020
;