Pasukan boling lelaki gagal ulangi pencapaian pingat

Bernama
Ogos 25, 2018 21:00 MYT
Kapten pasukan boling negara, Alex Liew (kiri) bersama rakan sepasukan kecewa apabila gagal bersaing menewaskan negara Asia lain pada acara berpasukan 6 lelaki pada Sukan Asia ke-18 di Komplex Sukan Boling Jakabaring. - Foto Bernama
SKUAD boling lelaki negara gagal mengulangi pencapaian pingat dalam acara berpasukan selepas hanya mampu menduduki tangga ketujuh pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di sini pada Sabtu.
Pada aksi yang berlangsung di Bandar Sukan Jakabaring di sini, skuad boling lelaki diketuai Alex Liew dan dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan Chye Chern, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Adrian Ang Hsien Loong dan Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek hanya melakukan 8,042 jatuhan pin.
Skuad negara, yang menyandang pingat perak, ketinggalan 498 mata dengan musuh tradisi Korea Selatan yang berjaya mempertahankan pingat emas selepas mencipta 8,540 jatuhan pin.
Pasukan Hong Kong pula berjaya meraih pingat perak dengan mencatatkan 8,175 jatuh pin manakala Taiwan membawa pulang pingat gangsa dengan menghasilkan 8,166 jatuhan pin.
Skuad negara gagal mengekalkan rentak kemenangan pingat perak oleh pasukan trio negara apabila gagal pulih dalam blok kedua permainan.
Kecewa dengan persembahan pasukan itu, ketua pasukan, Alex berkata pemain gagal menyesuaikan diri dengan perubahan permukaan lorong serta lewat menukarkan bola.
"Oleh kerana acara berpasukan mempunyai enam pemain berbanding lima sebelum ini, ramai daripada mereka mengambil mudah," katanya.
Bagaimanapun, kita tetap memberi saingan sehingga akhir permainan, katanya.
Sebagai rekod, pasukan lelaki memenangi pingat perak pada edisi 2010 di Guanzhou, China dan di Incheon, Korea Selatan, pada temasya lepas pada 2014.
Malaysia menang pingat emas sulung dalam acara itu pada edisi 1978 di Bangkok.
Skuad negara akan meneruskan cabaran dalam acara Masters lelaki dan wanita, masing-masing pada esok dan Isnin ini.
Mohd Syafiq Ridhwan dan Rafiq akan menggalas cabaran negara dalam acara Masters lelaki manakala Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan dalam acara Masters wanita.
-- BERNAMA
#boling #Jakarta-Palembang #Korea Selatan #Skuad boling #Sukan Asia 2018