Pasukan Argentina memperingati ulang tahun pemergian Maradona
Bernama
November 26, 2022 12:35 MYT
November 26, 2022 12:35 MYT
BUENOS AIRES: Pasukan bola sepak Argentina yang menyertai perlawanan Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar meluangkan masa untuk memperingati legenda bola sepak Diego Armando Maradona, sempena dua tahun pemergiannya.
Maradona meninggal dunia pada 25 Nov 2020 akibat serangan jantung pada usia 60 tahun selepas menjalani pembedahan otak 'subdural hematoma'.
Lionel Messi memuat naik cerita di Instagram dengan gambar bintang bola sepak legenda itu memakai jersi biru dan putih nombor 10, lapor Xinhua.
Pengurus Lionel Scaloni pada sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Mexico berkata: "ia hari sangat menyedihkan" merujuk kepada ulang tahun pemergian Maradona.
Penyerang Lautaro Martinez berkata skuad Argentina mengenang tokoh yang membolehkan Argentina muncul juara Piala Dunia pada 1986 di Mexico dan naib juara 1990 di Itali.
"Beliau sangat penting bukan sahaja kepada Argentina tetapi juga kepada bola sepak dunia. Ia hari yang menyedihkan untuk kami semua...," kata Martinez.
-- BERNAMA