Pasti bagus jika lebih ramai pemain ambil vaksin, kata Andy Murray
Astro Arena
Oktober 14, 2021 13:02 MYT
Oktober 14, 2021 13:02 MYT
ANDY MURRAY menggesa lebih ramai pemain tenis mengambil vaksin koronavirus menjelang Kejohanan Terbuka Australia tahun depan.
Pemain yang tidak divaksin dijangka masih dibenarkan untuk bertanding tetapi mereka berkemungkinan akan berdepan sekatan di Melbourne.
Pemain berusia 34 tahun berkenaan menyuarakan sokongannya terhadap sekatan seperti itu sambil memahami mengapa ia perlu dilakukan.
"Berdasarkan pemahaman saya, jika anda tidak divaksin, anda masih boleh bermain cuma peraturannya akan menjadi berbeza.
"Anda mungkin hanya perlu tiba Australia beberapa minggu lebih awal berbanding orang lain. Ia terpulang kepada pemain. Jika kerajaan tempatan melakukan perkara itu, saya akan menyokongnya.
"Ia pasti lebih baik jika lebih ramai pemain mengambil vaksin. Australia, secara khususnya, amat-amat tegas dalam perkara itu. Orang awam di sana telah melalui 18 bulan penuh derita atau sesuatu seperti itu.
"Jika ada orang luar yang masuk ke negara mereka dan berpotensi mencetuskan jangkitan dalam komuniti di sana, benar, ia amat difahami," katanya.