Pasangan Aaron-Wooi Yik tewas di final Terbuka China
Bernama
September 10, 2023 19:36 MYT
September 10, 2023 19:36 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlepas peluang untuk merebut gelaran juara Persekutuan Badminton Dunia (BMW) apabila tewas kepada pasangan dari China dalam aksi final Terbuka China di Changzhou Olympic Sports Centre hari ini.
Pasangan pilihan keenam itu ternyata tidak dapat menandingi kehebatan beregu dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, tewas dengan keputusan 21-12, 21-14 dalam masa 26 minit.
Ini merupakan kemenangan kelima beregu dari China itu dalam enam pertemuan dengan pasangan negara sebelum ini.
Aaron-Wooi Yik mara ke peringkat final selepas menewaskan juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan dalam pertembungan separuh akhir semalam, manakala pasangan China itu pula mara selepas kejayaan menundukkan beregu dari Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Satu-satunya pasangan lelaki negara yang pernah menjadi juara Terbuka China ialah Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek pada tahun 1989.
Terdahulu juara dunia perseorangan lelaki Viktor Axelsen mempamerkan persembahan mantap untuk muncul juara kejohanan.
Axelsen menewaskan pemain tuan rumah yang merupakan pilihan ke-15 dunia Lu Guang Zu dengan 21-16, 21-19 dalam masa 49-minit, menjadikan beliau sebagai pemain kedua dari Denmark yang pernah menjuarai perseorangan lelaki Terbuka China, selepas kejayaan Jan O Jorgensen pada tahun 2016.
Dalam penentuan juara perseorangan wanita, pemain nombor satu dunia An Se Young dari Korea Selatan menundukkan pemain nombor dua dunia yang juga juara 2017 Akane Yamaguchi dari Jepun dengan 21-10, 21-19.
-- BERNAMA