Parlimen: KBS tetap jalankan siasatan lanjut isu Muhammad Ziyad
Ridauddin Daud
November 17, 2021 12:15 MYT
November 17, 2021 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan tetap menjalankan siasatan lanjut bagi memastikannya dan pendirian atlet Paralimpik Malaysia Muhamad Ziyad Zolkefli yang berkata dia tidak tiba lewat tiba di bilik menunggu ketika bertanding di Paralimpik Tokyo 2020 mempunyai asas yang kukuh.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, KBS juga bersependapat dan percaya dengan pendirian Muhamad Ziyad bahawa dakwaan beliau tiba lewat adalah dakwaan yang tidak berasas sehingga pingat emas yang sepatutnya dia menangi ditarik balik.
“Kementerian bersependapat dan percaya dengan pendirian Ziyad bahawa dakwaan mengatakan beliau lewat adalah tidak berasas sama sekali dan keputusan pengadil atau pegawai teknikal adalah hasil daripada provokasi pegawai dan jurulatih Ukraine yang mana atletnya merupakan pesaing utama Ziyad.
“Bagaimanapun, kementerian tetap menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan dakwaan dan pendirian kita ada asas yang kukuh,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Tambahnya, disebabkan kes itu juga, kementerian baru-baru ini telah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk menyiasat kes melibatkan Muhammad Ziyad itu.
“Mesyuarat telah diadakan pada 5 Oktober 2021 dan 22 Oktober 2021. Hasil daripada laporan jawatankuasa tersebut telah diserahkan kepada kementerian pada 28 Oktober 2021.
“Jawatankuasa mendapati jurulatih dan atlet tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya anggap mereka tiba tepat pada waktunya.
“Begitupun, atlet dan jurulatih telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Sim Chee Keong (PH - Bukit Mertajam) yang meminta menteri menyatakan laporan terperinci isu "Did Not Start" (DNS) melibatkan Muhammad Ziyad.
Dalam jawapan tersebut, Lian Ker berkata, kementerian juga telah meminta semua pihak yang terlibat dalam sukan supaya lebih berhati-hati dan memastikan segala peraturan pertandingan diberi keutamaan.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad, merumuskan atlet itu dan jurulatih Mohd Faizol Harun, tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.
Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.
Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai 'DNS', susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan, atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.